KOTA KINABALU: Lima anak kapal warga Malaysia yang diculik di perairan Sabah minggu lalu masih belum dibawa masuk ke kawasan persembunyian kumpulan militan Abu Sayyaf di Pulau Jolo, selatan Filipina. Mereka dipercayai ditahan komander Abu Sayyaf, Apo Mike @ Najan Sahidjuan di Pulau Pandami dekat Jolo di wilayah Sulu. Aktivis anti penculikan yang berpangkalan di Jolo, Prof Octavio Dinampo berkata mereka ditawan di Padami yang dianggap sebagai kawasan selamat kerana ia merupakan 'wilayah' seorang lagi pemimpin Abu Sayyaf, Mulphi Jurahmad yang juga rakan Najan. Mulphi dan Najan dikatakan antara penculik yang bertanggungjawab menculik 21 rakyat Malaysia dan pelancong asing di Pulau Sipadan, Sabah pada 2000. "Dari situ, lelaki bersenjata itu cuba membawa lima mangsa culik ke Maimbung atau Parang di Jolo sebelum bergerak memasuki kawasan hutan tebal di Indanan," kata Octavio. Beliau berkata penculikan lima anak kapal dari sebuah kapal tunda pada 18 Julai lalu dilakukan untuk mendapatkan wang tebusan. Kelima-lima mereka kemudiannya diserahkan kepada Najan yang dianggap sebagai anggota Abu Sayyaf yang dipercayai menjaga tebusan dan berunding mengenai pembebasan mereka. "Dia berjaya mengendalikan kes anak kapal Indonesia beberapa bulan lalu dan mereka menjangkakan ini akan berterusan," kata Octavio. Katanya, hasrat untuk membawa lima anak kapal warga Malaysia itu ke Jolo terpaksa ditangguhkan berikutan pemeriksaan rumah ke rumah yang dikendalikan pasukan keselamatan Filipina pada minggu lalu. "Mereka melakukan pemeriksaan dengan alasan menjejaki pengedar dan penagih dadah. Mereka berharap dapat menangkap penjenayah lain juga," kata Octavio. Lima anak kapal itu dilaporkan hilang dari kapal tunda mereka pada pukul 3 petang Isnin oleh pemiliknya. Mereka yang diculik dikenal pasti sebagai Abd Rahim Summas, 62, Fandy Bakran, 26, Tayudin Anjut, 45, dan Mohd Zumadil Rahim, 23, semua dari Tawau manakala Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Pahang.