PETALING JAYA: Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun menafikan beliau membuat laporan polis palsu berhubung dakwaan cubaan menggulingkan Perdana Menteri. Beliau berkata, laporan itu berjaya mematahkan cubaan untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional. "Kita gembira dan bangga, dan kita komited untuk meneruskannya. Saya ingin memberikan amaran bahawa, sesiapa yang menyerang Najib, seranglah Umno dan Barisan Nasional," katanya pada sidang media di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein pada Rabu. Polis telah menghentikan siasatan berhubung laporan polis berkenaan kerana pengadu tidak mempunyai sebarang bukti seperti yang didakwa. Pada 26 Julai lepas, Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed. Khairul Azwan menegaskan laporan itu tidak berdasarkan kepada andaian dan dengar cakap (hearsay). "Saya telah membuat laporan polis dan saya faham Ketua Polis Negara tidak akan mengambil sebarang tindakan. "Saya diberitahu tiada tindakan diambil ke atas saya, jadi ia merupakan laporan yang kita buat," katanya. Ditanya mengenai sama ada laporan yang dibuat beliau atas kapasiti Pemuda Umno atau individu, beliau berkata: "ia adalah tanggungjawab semua untuk mempertahankan kepimpinan Najib."