suria

Anak Yatim, Selebriti Meriahkan Majlis Aidilfitri mStar

PETALING JAYA: Kemuliaan Syawal terus diraikan apabila portal mStar Online  tidak melepaskan peluang menganjurkan majlis silaturahim Aidilfitri pada Rabu.

Bertempat di Menara Star, di sini,  majlis berkonsep santai ini diserikan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air dan personaliti jemputan khas sejak pukul 3 petang.

Pengarang Eksekutif mStar Online, Rozaid A. Rahman berkata majlis ini diadakan sebagai menghargai individu atau pihak yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama terhadap portal berbahasa Melayu ini.

"Saya melihat majlis ini mampu mengeratkan hubungan dan kerjasama yang telah terjalin antara tetamu dan warga kerja portal ini.

"Saya harap semua yang hadir dapat beramah mesra dan jika ada peluang, majlis seperti ini akan dianjurkan lagi pada tahun hadapan," katanya.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Menjadikan majlis ini lebih bermakna apabila ia turut disertai lebih 50 orang anak-anak yatim dari tiga buah pusat jagaan di sekitar Lembah Klang.

Pusat jagaan tersebut ialah Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Kampung Melayu Subang, Pusat Jagaan Kasih Murni, Taman Keramat dan Rumah Nur Sakinah, Subang Murni.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka apabila semua anak yatim menerima duit raya yang disumbangkan oleh ahli perniagaan Datuk Seri Salmah Ismail.

Pemilik Emi Q Rupawan Sdn Bhd itu berkata beliau terpanggil untuk menghulurkan sumbangan kerana mahu berkongsi rezeki dan menggembirakan golongan kurang bernasib baik pada Syawal yang mulia.

"Saya gembira melihat mereka gembira, saya tak mahu mereka bersedih di Hari Raya. Saya mahu lihat mereka membesar dengan positif dan berjaya dalam bidang yang diceburi," katanya.

Salmah berkata beliau sedar kemeriahan Aidilfitri sebenar adalah apabila ia dapat disambut bersama dengan ibu-bapa tercinta.

"Saya sangat rindukan saat-saat menyambut Aidilfitri bersama kedua orang tua saya. Disebabkan mereka sudah tiada, saya cuba gembirakan anak-anak yatim dengan cara ini," katanya.

Antara artis dan personaliti yang memeriahkan majlis ini termasuklah Zahid, Hazami, Sandra, Johan Asari, Wani Kayrie, Ezuwan Ismail, Rita Sosilawati, Kapten Pantun, Rozita Rohaizad, Faiz Dickie dan Chef Zam.
mStar Online

Artikel Lain