KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, orang digantinya Datuk Seri Ahmad Said ialah punca kekalutan politik di negeri itu. Ahmad Razif menarik perhatian bahawa di bawah pentadbiran Ahmad, Barisan Nasional (BN) negeri telah hilang tujuh daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwarisi daripada pentadbiran Datuk Seri Idris Jusoh. "Ini menjadi ibu segala permasalahan dan ketidakstabilan di Terengganu," katanya dalam satu kenyataan. Dengan mempunyai hanya 17 daripada 32 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, Ahmad Razif berkata; "Kerajaan BN Terengganu dilihat sentiasa berada dalam keadaan tidak menentu dan tidak berkeyakinan. "Inilah ibu kepada segala permasalahan dan ketidakstabilan yang sedang melanda politik dan pertabiran kerajaan negeri Terengganu. Apabila sudah tidak kuat kita akan terdedah dengan pelbagai ancaman dalam dan luar," katanya. Tambah Ahmad Razif, rakyat perlu tahu tentang fakta dan merumuskan bahawa kerajaan BN yang ada di Terengganu sedang berhempas pulas memikul beban tanggungan yang ditinggalkan oleh Ahmad. Di sebalik kegagalan Ahmad, bekas menteri besar itu dilihat seolah-olah cuba menonjolkan diri sebagai penyelamat pula, katanya. "Sekarang tiba-tiba dengan megah mengaku cuba menjadi “penyelamat”. Sepatutnya bekas MB itu membantu saya menstabilkan Umno dan membuat persediaan menghadapi PRU-14. "Saya selaku MB dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri terpanggil untuk membuat perincian dengan apa yang telah berlaku dan sedang berlaku kini. Politik negeri Terengganu semenjak saya diamanahkan sebagai ketua kerajaan Terengganu yang bertuah ini. "Saya telah amati dengan teliti akan segala desas-desus, insiden serta tragedi yang telah berlaku dan sedang berlaku sepanjang pentadbiran saya dengan penuh rasa tawaduk dan reda di atas segala apa berlaku," katanya. Pada Selasa, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Ghazali Taib mengkritik kepimpinannya dan memberitahu media bahawa kepimpinan tertinggi Umno perlu mengambil pendekatan dan tindakan segera bagi menyelesaikan apa yang dianggapnya kemelut pentadbiran negeri. Ahmad Razif mengingatkan anggota atau pemimpin parti yang tidak puas hati dengan kepimpinannya supaya menggunakan kaedah yang betul serta mengelak mengheret seluruh masyarakat menjadi huru hara di atas asas andaian dan ketidakpuasan hati diri sendiri. Mengambil pendekatan demokrasi, beliau berkata sekiranya rakyat tidak berpuas hati kepada pentadbiran kerajaan yang pilih secara demokrasi, seeloknya mereka menunggu ketibaan pilihan raya umum. "Marilah kita bersama-sama menjernihkan keadaan politik negeri Terengganu serta bekerja lebih kuat untuk mendapat kemenangan yang cemerlang pada PRU-14 supaya tidak terjadi seperti PRU-13 lalu dan fokus kepada Pembangunan Negara Bangsa dan Pemasalahaan Rakyat semasa. "Saya juga yakin Umno Terengganu masa kini dalam keadaan stabil dan terurus walaupun ada cerita yang bukan-bukan. Percayalah sebagai mana saya katakan, terserahlah kepada qada dan qadar setelah kita ikthiar bersungguh-sungguh," tegasnya. Ahmad Razif turut menyatakan bahawa antara sebab Ahmad berundur lebih awal daripada jawatan menteri besar yang disandangnya ialah kerana Ahmad sendiri telah membuat akur janji pengunduran. "Siapa yang memulakan 'peperangan atau pergelutan ini? ... jelas bekas MB sebelum ini dengan membuat usul undi tidak percaya dalam DUN dan bersekongkol dengan elemen-elemen yang jelas bertentangan dengan kepimpinan pusat serta negeri," katanya. - Bernama