PETALING JAYA: "Kami hanya dibayar RM1,000 minggu lalu, itu pun selepas diberitahu rakan setugas yang kebetulan mengemaskini akaun bank," demikian dakwa seorang pekerja syarikat penerbangan carter khidmat umrah dan haji, Eaglexpress. Kru kabin yang enggan identitinya didedahkan itu memberitahu mStar Online, tunggakan gaji setakat ini meliputi dua bulan iaitu Jun dan Julai. "Pihak pengurusan kata nak bayar awal Ogos tetapi sekarang sudah pertengahan bulan. Masalah tunggakan gaji masih belum selesai," katanya. Seorang lagi kakitangan Eaglexpress yang kini bertugas di Arab Saudi sempena musim haji turut kesal kerana wang berkenaan tidak cukup untuk menampung perbelanjaannya di negara itu. "Setakat ini, hanya dapat RM1,000. Belum ada lagi bayaran tunggakan gaji penuh," katanya menerusi aplikasi WhatsApp. Isu tunggakan gaji Eaglexpress berlarutan apabila dilaporkan syarikat penerbangan itu masih belum melunaskannya meliputi baki separuh gaji bagi Mei kepada sebahagian pekerja. Selain itu, gaji Jun dan Julai yang juga belum dilunaskan, tidak termasuk elaun sejak awal tahun ini. Ia diakui pihak pengurusan Eaglexpress berikutan syarikat penerbangan tersebut ketika itu belum menerima bayaran daripada Saudi Arabian Airlines (Saudia) selepas penerbangan membawa jemaah haji secara kontrak bermula akhir Julai lalu. Bercakap kepada mStar Online, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Eaglexpress, Andriaty Abdul Rahman berkata, pihaknya menyalurkan RM1,000 kepada semua kakitangan yang memperoleh gaji bulanan di bawah RM5,000. Tambahnya, ada kakitangan teknikal dan kejuruteraan yang bergaji rendah mendapat bayaran pendahuluan RM2,000 kerana mereka tidak menerima bayaran tunggakan separuh gaji Mei sebelum ini. "Kami banyak terima aduan mengenai masalah kewangan yang dihadapi pekerja dan sedang berusaha mengatasi masalah ini. "Jadi, kami bayar RM1,000 terlebih dahulu pada minggu lalu bagi membolehkan mereka bertahan sehingga bayaran tunggakan gaji dibuat. "Kami baru sahaja terima bayaran daripada Saudia minggu ini dan ia perlu melalui beberapa proses sebelum tungakan gaji dibuat paling awal minggu depan," katanya. Menurut Andriaty, bayaran itu meliputi sebahagian gaji pada Mei yang belum dilunaskan kepada sebahagian pekerja, dan gaji Jun kepada semua kakitangan, dengan pemotongan bayaran pendahuluan yang diterima pekerja minggu lalu, masing-masing RM1,000 dan RM2,000. "Kita akan selesaikan tunggakan gaji membabitkan jumlah RM2.5 juta kepada lebih 300 pekerja pada minggu depan dan notis pemberitahuan akan dikeluarkan bahagian sumber manusia," katanya. Beliau menambah, masalah segala bayaran tertunggak akan terus diusahakan termasuk gaji Julai apabila syarikat beroperasi dengan lancar menerusi kontrak bersama Saudia, termasuk Flynas dan Biman Bangladesh Airlines (Biman). Masalah tunggakan gaji dan elaun Eaglexpress termasuk isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) didedahkan mStar Online pada 20 Jun lalu selepas syarikat penerbangan itu mengalami masalah kewangan sejak Februari tahun ini. Isu berkenaan disebabkan syarikat tidak mempunyai sijil Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA), sekali gus tidak dapat beroperasi beberapa bulan berikutan perniagaan utama terikat dengan Saudia yang memerlukan pengiktirafan itu bagi membawa jemaah umrah dan haji ke Arab Saudi. Bagaimanapun, Eaglesxpress berjaya memperoleh IOSA baru-baru ini dan syarikat penerbangan itu kembali beroperasi.