suria

Kerancakan Sedekah Ketika Iftar dan Sahur

ASSALAMUALAIKUM. Minggu lalu saya bercerita mengenai tempat ziarah di Tanah Suci Madinah dan Makkah lengang ketika Ramadan kerana tidak ramai jemaah umrah menziarahinya sebab sebahagian besar sudah beberapa kali diundang sebagai tetamu Allah SWT.

Ramai jemaah yang lebih banyak memberi tumpuan kepada ibadat di dalam masjid sama ada bertawaf sunat, membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah. Jika mahu menunaikan umrah pun, ramai yang hanya menjadilkan Tana’im sebagai tempat miqat.

Lain pula dengan medan selera di sebahagian besar hotel bertaraf lima bintang yang dibanjiri manusia setiap kali sesudah solat berjemaah Maghrib, Isyak, terawih ataupun qiamulail. Sangat padat dengan jemaah yang mahu menikmati hidangan iftar dan bersahur.

Namun, hanya sekali saya berbuka puasa di medan selera di dalam hotel iaitu Hotel Safwah Royale Orchid manakala selebihnya saya berbuka puasa di dataran Masjidil Haram atau di dalam masjid itu sendiri.

Lebih seronok berbuka di dalam masjid. Biarpun makanan tidak seberapa namun kemanisan dan keberkatan ada di situ. Lapar kerana hanya berbekalkan tamar, buah-buahan dan roti? Tidak sama sekali. Alhamdulillah. terasa cukup hidangan yang ada di depan mata. Saling berkongsi dan bertukar makanan, itulah yang paling menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan.

Lazimnya, makanan berbuka selalunya saya peroleh daripada sedekah yang dihulurkan. Namun, tidaklah pula saya meminta kerana sedia ada membawa buah-buahan, tamar, sandwic atau kek yang dibeli dan sebotol air zamzam.

Namun, jika ada yang menghulurkan makanan, tidak saya tolak. Selalunya, makanan diberi termasuk roti manis, roti berinti keju dan kek. Seronok tatkala melihat setiap gelagat jemaah berebut-rebut mengambil makanan daripada penyumbang atau penderma.

Pada suatu petang saya maklumkan kepada ketua rombongan, Haji Mohamad Ridzwan Abdullah mengenai pesanan dan titipan daripada mereka di tanah air yang mahu menghulurkan sumbangan makanan kepada jemaah umrah.

“Haji, bila waktu sesuai untuk salurkan sedekah kepada jemaah umrah?” tanya saya.

“Elok jika sedekah pada malam 27 Ramadan. Insha Allah bolehlah kita salurkan sumbangan itu selepas waktu Asar kerana ketika itu, ramai jemaah pulang ke penginapan setelah solat berjemaah,” ujar Haji Mohamad Ridzwan.

“Kenalan di Kuala Lumpur beri wang tunai, jadi, mereka minta tolong kita sedekahkan kepada jemaah umrah,” kata saya lagi.

“Boleh. Duit itu kita beli barang makanan dan edarkan kepada jemaah umrah, insha Allah,” balas beliau lagi.

Justeru, tiba hari dimaksudkan, saya menyerahkan sejumlah wang kepada Haji Mohamad Ridzwan setelah beliau menunjukkan kepada saya makanan dan minuman berbuka yang siap dipek di sebuah kedai runcit berhampiran hotel penginapan.

“Senang dah macam ni haji. Sesuai sangatlah untuk diedarkan kepada jemaah,” ujar saya.

Beliau kemudiannya memaklumkan kepada pekerja di kedai runcit itu dan tidak lama kemudian, pekerja berkenaan mengangkat berpuluh-puluh buntil makanan minuman siap dipek dan menuju ke lobi hotel penginapan.

Di lobi hotel, isteri Haji Mohamad Ridzwan, Hajah Naaimah Abdullah serta makcik Kamariah sedia menunggu. Saya teruja untuk mengagihkan makanan dan minuman berbuka puasa itu. Justeru, pada 1 Julai bersamaan 26 Ramadan, sejumlah 400 pek makanan diedarkan kepada jemaah.

Ketika itu, masih ramai jemaah yang pulang dari Masjidil Haram setelah menunaikan solat Asar berjemaah. Melihat pekerja di kedai runcit mengangkat berpuluh-puluh buntilan berisi makanan,ramai jemaah mula menghampiri kawasan depan hotel penginapan Retaj Safwah.

Saya semakin gembira melihat mereka mula berkumpul dan menghulurkan tangan. Namun, buntilan belum dibuka lagi dan saya meminta mereka bersabar.

Sejurus buntilan dibuka dan diedarkan, berebut-rebut jemaah menghampiri kami. Mulanya, Haji Mohamad Ridzwan mengedarkan makanan dan saya merakamkan video dan selepas itu saya, kak Naaimah dan makcik Kamariah pula mengedarkan makanan manakala Haji Mohamad Ridzwan pula merakamkan gambar dan video.

Mereka tidak sabar mengambil makanan yang diberi. Jubah saya ditarik-tarik sebagai tujuan menarik perhatian untuk membolehkan mereka mendapat makanan berbuka itu. Geli hati saya melihat gelagat mereka.



Ada juga merentap terus beg plastik yang saya pegang apabila menyedari hanya tinggal satu yang berbaki di dalam buntilan. Gembira juga melihat karenah mereka. Mereka memanggil-manggil saya hajah, hajah, hajah untuk mendapatkan makanan berkenaan.

Sesekali saya juga menyebut, “Sabar ya Haj…” apabila melihat mereka seolah-olah hilang sabar.

Malah, ada juga jemaah yang mengambil lebih daripada satu pek makanan dan minuman. Haji Mohamad Ridzwan sering menyedarinya tetapi tidak pula saya.

Dalam masa tidak sampai 10 minit habis semua makanan berkenaan. Ada yang mahu mengambilnya tetapi tiada rezeki mereka. Selesai mengagihkan makanan, saya naik semula ke dalam kamar hotel penginapan untuk berwuduk dan seterusnya ke Masjidil Haram untuk persediaan iftar di dalam masjid.

Saya turut membawa beberapa pek untuk dibawa ke masjid untuk diberikan kepada jemaah di dalam masjid. Begitu juga dengan jemaah berkenaan yang turut membalas pemberian saya.

Alhamdulillah.

Setelah iftar, solat Maghrib, Isyak, terawaih dan qiamulail, ramai jemaah keluar dari masjid untuk bersahur. Lazimnya, saya juga begitu biarpun sendirian. Hanya sekali dua sahaja saya bersahur di dalam masjid kerana dipelawa oleh warga Indonesia untuk makan bersama-samanya nasi yang siap dipek berserta dendeng dan serunding.

Selalunya, saya berbuka di medan selera hotel paling hampir dengan pintu masjid. Saya terkejut apabila kali pertama bersahur di medan selera kerana tidak sangka lautan manusia membanjiri medan selera di dalam hotel bertaraf lima bintang.

Tidak seperti jam 2.30pagi. Sungguh meriah suasana sahur di Tanah Suci. Sebahagian besar medan selera tutup operasi pada jam 3.30 pagi. Jadi usah bimbang jika tidak berkesempatan pulang ke hotel untuk menikmati hidangan sahur kerana makanan boleh diperoleh di tempat berkenaan.

Namun, harganya lumayan dan kuantiti pula sungguh banyak jika dimakan sendirian. Seringkali saya tidak mampu menghabiskan makanan dibeli dan memberinya kepada sesiapa sahaja di sisi. Namun, paling penting, sediakan wang secukupnya jika mahu bersahur di luar jika keberatan untuk berjalan pulang ke hotel pengnapan.

Saya bukan malas hendak pulang ke hotel penginapan yang hanya terletak 180 meter dari perkarangan Masjidil Haram tetapi mahu melalui pengalaman bersahur di Tanah Suci tambahan pula, mudah untuk masuk semula ke dalam masjid setelah bersahur.



Masih saya ingat ketika saya mencari tempat duduk untuk menikmati makanan segera yang dibeli. Puas saya mencari bangku kosong di dalam medan selera Hotel Hilton Suite tetapi tidak berjaya menemuinya kerana jemaah umrah sungguh ramai ketika itu tambahana pula ia adalah malam 27 yang disifatkan sebagai kemuncak ibadat Ramadan.

Dalam pada saya mencari setelah berpusing dua kali di medan selera berkenaan, sepasang suami isteri memandang saya dan si isteri menggamit pada saya agar berkongsi bangku dengannya.

Saya keberatan dan mengatakan tidak mengapa tetapi dia bersungguh-sungguh mempelawa dan memberi sedikit ruang untuk saya duduk bersama-samanya. Akhirnya, saya akur dan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Pasangan itu menikmati makanan segera Al Baik yang pada mulanya saya mahu menikmatinya tetapi melhatkan deretan jemaah beratur, saya membatalkan hasrat untuk membelinya. Namun, rezeki menyebelahi saya apabila wanita dari Turki itu memberi saya ban dan jejari ayam Al Baik.

Mulanya saya menolak kerana sudah ada makanan tetapi akhirnya mengambilnya juga kerana menganggap rezeki usah ditolak apatah lagi saya sememangnya mahukan makanan segera itu.

Wanita itu kemudiannya memohon diri untuk beredar dan berlalu meninggalkan saya yang masih menikmati makanan.

Ikuti catatan saya minggu depan, insyaAllah.


Tana'im, Masjidil Haram, iftar, sahur, Ramadan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain