suria

Ops Ikrar Imigresen: Pati Bertempiaran Lari Di Tapak Binaan

KOTA BARU: Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen di tapak projek perumahan sekitar negeri ini, Sabtu.

Tindakan pantas anggota pengguatkuasa itu bagaimanapun berjaya menahan 20 Pati dalam Ops Ikrar di dua tapak pembinaan.

Mereka yang ditahan melibatkan warga Bangladesh, Indonesia, Nepal dan Myanmar yang melakukan kesalahan menyalah guna pas lawatan, tinggal lebih masa dan tiada pas atau dokumen sah.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan, Siti Khadijah Hamzah berkata, seramai 19 Pati diperiksa dalam serbuan di lokasi pertama di Batang Merbau, Tanah Merah.

Susulan itu, katanya, mereka dibawa ke pejabat penguatkuasa Imigresen di Telipot untuk pemeriksaan lanjut dan proses dokumantasi.

"Keseluruhannya, 20 Pati ditahan, termasuk 14 Pati ditahan di lokasi pertama, manakala enam lagi melibatkan Pati warga Indonesia, Nepal dan Bangladesh diberkas di tapak pembinaan di Pengkalan Chepa," katanya.

Semua Pati terbabit melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalah guna pas, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6 (1) (c) akta sama.

Mereka yang ditahan berumur antara 19 hingga 47 tahun dan telah dibawa ke Depo tahanan  Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai Siti Khadijah itu melibatkan 57 kakitangan dua agensi iaitu imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Artikel Sebelum

Namewee Ditangkap

Artikel Berikut

Artikel Lain