MELAKA: Dua adik-beradik yang cedera dalam kes pembunuhan tiga sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Bertam Malim di sini, berada dalam keadaan stabil. Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata Noor Haslinda Diyana Hassan, 26, dan Nuraqedah Aeina Hassan, 24, bagaimanapun masih dirawat di unit rawatan rapi Hospital Melaka. "Saya dimaklumkan adik-beradik tersebut berada dalam keadaan stabil dan sedang dipantau rapi oleh doktor," katanya pada Jumaat. Sementara itu, mayat ketiga-tiga mangsa yang didakwa ditetak oleh seorang anggota keluarga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bertam Malim pada pukul 11.30 pagi Jumaat. Kira-kira 300 orang termasuk saudara-mara, rakan-rakan dan orang kampung menghadiri pengebumian Hassan A. Wahab, 72, isterinya Mariah Baharin, 60, dan anak lelaki mereka Mohd Basir Taufiq, 22. Dalam kejadian pada awal pagi Khamis, tiga sekeluarga ditemui mati dipercayai dibunuh di rumah mereka di Jalan Sidang Daif Kampung Bertam Malim pada pukul 6 pagi. Polis berjaya menahan suspek berusia 26 tahun di Masjid Bukit Rambai selepas lima jam pembunuhan tersebut berlaku dan suspek ditahan reman selama seminggu.