suria

Moratorium Bauksit Dilanjutkan Sehingga 31 Disember Ini

PUTRAJAYA: Moratorium perlombongan bauksit di Pahang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tempoh lanjutan itu diberikan kerana masih terdapat kira-kira 4.13 juta tan metrik stok simpanan bauksit yang belum dikosongkan dan dieksport.

"Kabinet bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir moratorium yang sepatutnya tamat pada 15 September kepada 31 Disember ini.

"Setakat ini, kami mengeluarkan 38 permit kelulusan (AP) untuk mengosongkan stok simpanan bauksit.

"Namun masih terdapat kira-kira 4.13 juta tan metrik stok simpanan bauksit belum dikosongkan. Saya tiada idea mengapa industri ini mengambil masa lama untuk dikosongkan.

"Sehingga stok simpanan itu dikosongkan, kami tidak akan menarik balik moratorium perlombongan bauksit itu, jadi industri tersebut tidak boleh menyalahkan kami jika tiada perniagaan kerana larangan berkenaan," kata Dr Wan Junaidi pada sidang media di sini.

Ini adalah kali ketiga kerajaan melanjutkan moratorium yang bertujuan untuk menghentikan sementara semua aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri Pahang.

Ia mula dilaksanakan pada 15 Januari lalu bagi membolehkan satu pelan penyelesaian pencemaran dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

moratorium bauksit, Pahang

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia