KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada atlet paralimpik, Abdul Latif Romly yang meraih pingat emas ketiga negara serta mencipta rekod dunia dan kejohanan di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil. "Cipta tiga rekod dunia dalam satu malam, pecahkan rekod sendiri. Abdul Latif Romly, anda luar biasa! Tahniah, emas ke-3 #MAS di #Rio2016 #Paralympics. #TerbangLatifTerbang," kata Perdana Menteri menerusi catatan di laman rasmi Twitternya. Atlet berusia 19 tahun dari Kangar, Perlis itu yang beraksi dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) mencatat jarak 7.60 meter pada lompatan kelima beliau di Stadium Olimpik, Rio de Janeiro, pada Ahad. Rekod dunia terdahulu iaitu 7.35m adalah milik beliau sendiri yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lepas, manakala rekod Sukan Paralimpik iaitu 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol yang dilakukan pada edisi 2012 di London. Sebelum ini, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraih pingat emas pertama untuk negara melalui acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) dengan catatan 12.07 saat. Sementara Muhammad Ziyad Zolkefli merangkul emas acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dengan lontaran sejauh 16.84 meter, sekali gus mencipta rekod baharu dunia.