suria

Jabatan Imigresen Miliki Akta Beku Aset Majikan

PETALING JAYA: Selain Akta Imigresen 1959/63, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan ‘senarai panjang’ mengenai peruntukan undang-undang berkaitan bagi membolehkan ia menguatkuasakan undang-undang pembekuan serta penyitaan terhadap aset atau akaun milik majikan industri yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa izin (Pati).

Ia susulan bantahan di kalangan majikan terutama persatuan-persatuan industri berhubung pelaksanaan itu, yang bermula Oktober ini.

Menurut sumber Jabatan Imigresen kepada mStar Online, peruntukan akta berkaitan yang lain untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaan adalah Akta Pasport 1966, Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 (Amla) dan Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

“Akta-akta ini merupakan sebahagian daripada ‘sejumlah’ akta-akta yang boleh menguatkuasakan undang-undang untuk membeku atau menyita aset atau akaun majikan yang didapati bersalah,” katanya.

Jabatan Imigresen pada Rabu dihujani banyak aduan dan rungutan selepas pengumuman Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali mengenai langkah menguatkuasakan undang-undang tersebut, dalam satu sidang media pada Selasa.

Menurut sumber, jabatan itu menerima banyak panggilan telefon dan emel mengenai bantahan dan rasa tidak puas hati di kalangan majikan dan persatuan industri.

“Kebanyakan mereka mempersoalkan sejauh mana Jabatan Imigresen boleh menguatkuasakan undang-undang tersebut dan mempertikaikan adakah dan apakah akta-akta sedia ada yang membenarkan tindakan itu dilaksanakan,” kata sumber.

Difahamkan, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen pada Khamis bagi memberi penjelasan dan kefahaman kepada umum terutama industri.

Pada Selasa, Mustafar berkata, penguatkuasaan undang-undang selaras dengan peruntukan Seksyen 56 (1) di bawah Akta Imigresen 1956 itu bertujuan menyedarkan majikan mengenai kepentingan mematuhi peraturan berkaitan pemilikan dan tempoh masa pasport, visa dan permit kerja individu yang digaji.

"Perkara ini sudah dibincangkan dengan penasihat undang-undang dan penguatkuasannya akan kita laksanakan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Tambah Musfatar: "Sebenarnya peruntukan (undang-undang) itu sudah ada... orang tidak menyedari mengenainya sehingga perjalanan proses penggajian pekerja asing di negara kita berjalan tidak teratur.”

Sementara itu, Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, walaupun alasan yang diberikan persatuan bahawa langkah itu hanya akan menjejaskan ekonomi, tetapi pada masa sama mereka tidak menyedari telah melakukan ‘pembelotan’ terhadap kerajaan dari segi ekonomi kerana menggaji pekerja tanpa izin.

Beliau berkata, syarikat atau majikan yang menggaji Pati sebenarnya tidak membayar cukai berkaitan pengambilan pekerja, dan pembayaran cukai pendapatan juga tidak dilakukan secara telus, dan secara tidak langsung ia memberi kesan kepada ekonomi.

“Persatuan mengakui ada syarikat atau majikan yang mengambil pekerja tanpa izin. Tidakkah mereka sedar ia merupakan tindakan melanggar undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamal berkata, majikan juga menafikan inisiatif kerajaan dalam menyediakan pelbagai program untuk pengambilan pekerja asing.

“Kalau alasan adalah mahal, tetapi sebenarnya kebanyakan kos diserapkan oleh pihak pekerja sendiri. Kos tinggi disebabkan majikan menggunakan ejen atau orang tengah, yang mahu mengaut keuntungan dengan mengenakan caj melampau.

“Majikan juga perlu sedar bahawa salah satu penguatkuasaan undang-undang ini bagi memastikan pekerja yang diambil mereka adalah ‘bersih’ dari masalah jenayah dan kesihatan, yang kelak akan memberi masalah kepada syarikat, dan paling utama boleh mengancam keselamatan negara,” kata Kamal.

Sehubungan itu, beliau menyarankan persatuan supaya mengadakan pertemuan dengan Jabatan Imigresen dari segi perkongsian pandangan dan maklumat, supaya wujud persefahaman antara kedua-dua pihak untuk kebaikan bersama.

Imigresen, Pati

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain