PUTRAJAYA: Malaysia tetap dengan pendiriannya untuk mendakwa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 melalui mekanisme pendakwaan yang sesuai dan berkesan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata laporan interim Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) bagi MH17, yang turut disertai Malaysia, pada Rabu mengesahkan laporan teknikal sebelum ini oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang pesawat itu ditembak jatuh menggunakan pelancar peluru berpandu BUK 9M38-Series. Beliau berkata laporan itu juga membuat kesimpulan bahawa lokasi sebenar tapak pelancaran adalah di sebuah ladang pertanian berhampiran Pervomaiskiy, sebuah bandar di Kharkiv, Ukraine - kawasan yang dikawal oleh pemberontak pro-Rusia pada masa itu. Liow menegaskan dapatan itu adalah konsisten dengan laporan DSB berdasarkan material yang diperoleh dari Amerika Syarikat dan Agensi Angkasa Eropah. "Berbekalkan kedua-dua laporan JIT dan DSB, Malaysia tekad untuk menegakkan keadilan," katanya dalam kenyataan di sini Khamis. Beliau berkata walaupun laporan itu tidak dapat menentukan pelaku yang bertanggungjawab terhadap kejadian tragik itu, tetapi JIT telah mengenal pasti identiti 100 individu yang dapat dikaitkan dengan tragedi MH17. Liow berkata Malaysia, bersama-sama rakan JIT - Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia, tidak pernah berubah dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan. "Malaysia ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan kami dalam JIT untuk siasatan terperinci dan telus yang membolehkan kami untuk meneruskan tindakan atas fakta yang lebih kukuh," katanya. Malaysia, katanya, menyambut baik pengumuman perjanjian JIT akan dilanjutkan sehingga Januari 2018 untuk membolehkan siasatan diteruskan tanpa henti. Dalam tempoh sukar ini, ingatan dan doa kami sentiasa mengiringi waris dan orang tersayang kepada penumpang dan anak kapal MH17," katanya. Pesawat Boeing B777 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, apabila ditembak di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia. Liow menegaskan masyarakat antarabangsa perlu bersatu dalam usaha bawa perubahan untuk langit lebih selamat. Beliau berkata perlu ada laporan secara mandatori serta tepat pada masanya, maklumat yang relevan mengenai risiko penerbangan di zon konflik kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) oleh negara anggota dan ICAO mesti mewujudkan protokal global untuk menyebarkan maklumat kepada negara anggota dan syarikat penerbangan. "Ini bukan pilihan. Ia akan menyelamatkan nyawa," katanya. - BERNAMA