DUNGUN: Seorang pemandu treler maut akibat terkena serpihan tayar lorinya yang meletup di Jalan Jerangau-Jabur, Bukit Besi malam Rabu. Mohd Nazri Jusoh, 41, meninggal serta merta dalam kejadian 7.30 malam itu. Mangsa dikatakan sedang membawa simen dari Kuantan menghala Kuala Terengganu. Sumber polis memberitahu mangsa sebelum itu memberhentikan lorinya di tepi jalan setelah terhidu bau hangit dari bahagian belakang lorinya. "Ketika dia sedang membuat pemeriksaan, tiba-tiba sebuah tayar lorinya meletup dan serpihan tayar berkenaan terkena pada muka, badan dan tangannya yang menyebabkan mukanya hancur," katanya. Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA