suria

Moderation Diterbit Tepat Pada Waktu - Nazir Razak

Datuk Seri Wong Chun Wai menyampaikan cenderahati buku Moderation kepada Datuk Seri Nazir Razak yang melancarkan naskhah khas itu di Menara Star, Khamis.

PETALING JAYA: Catatan pengalaman hidup beberapa tokoh dan wartawan terkemuka negara ini dihimpunkan dalam naskhah khas berjudul Moderation, terbitan Kumpulan Media Star (SMG) yang dilancarkan pada Khamis.

Majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan Pengerusi Kumpulan CIMB dan Pengarah CIMB Bank, Datuk Seri Nazir Razak di Menara Star di sini.

Buku yang memuatkan 28 esei daripada penulis pelbagai latar belakang itu menyentuh pandangan berbeza  mengenai konsep kesederhanaan di Malaysia.

Antara penulis buku tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan SMG, Datuk Seri Wong Chun Wai; aktivis sosial dan kolumis The Star, Datin Paduka Marina Mahathir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan serta ahli ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam.

Turut terlibat dalam naskhah ini adalah Pengarah Eksekutif Sisters in Islam, Zainah Anwar, peguam dan pensyarah undang-undang, Prof Madya Dr Azmi Sharom; tokoh wartawan, Datuk Seri Azman Ujang dan Tan Sri Johan Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perhubungan Ekonomi dan Demokrasi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan; cicit Tunku Abdul Rahman, Sharyn Shufiyan dan Profesor Emeritus dalam bidang perundangan, Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Terdahulu, Nazir dalam ucapannya berkata, buku tersebut diterbit tepat pada waktunya ketika negara berdepan situasi politik tidak menentu.

"Buku ini menghimpunkan koleksi esei yang hebat. Saya ingin buat pengakuan di sini sebaik sahaja saya menerima buku ini, saya terfikir mengapa saya tidak dipelawa untuk menyumbangkan penulisan dalam buku ini.

"Mungkin saya nombor ke-29 dalam senarai kesederhanaan Chun Wai, jadi saya hanya berpeluang melancarkan buku ini," katanya dalam nada berseloroh.

Pada masa sama, Nazir berkata, usaha SMG seharusnya diberi pujian kerana adalah penting untuk membangkitkan kesedaran mengenai nilai kesederhanaan yang masih belum diamalkan sepenuhnya rakyat Malaysia.

Buku tersebut dijual pada harga RM48 senaskhah dan boleh didapati di kedai buku utama di seluruh negara sejak 14 April lalu.

Penerbitan buku itu merupakan sebahagian usaha syarikat akhbar itu dalam memupuk kesederhanaan di kalangan rakyat Malaysia sejak 2014.


Moderation, SMG, Nazir Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Polis Perak Bebas Ideologi Daesh

Artikel Lain