IPOH:Tiada anggota polis kontinjen Perak terlibat dalam sebarang aktiviti yang mempunyai kaitan dengan militan Daesh, kata Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Hasnan Hassan. Beliau berkata sebagai penguat kuasa dan pasukan keselamatan tidak seharusnya mana-mana anggota atau pegawai terlibat dalam kegiatan militan secara langsung atau tidak. "Jika ada anggota yang terlibat kita tidak akan berkompromi serta akan dikenakan tindakan undang-undang yang bersesuaian," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Perak, di sini pada Khamis. Selain itu, Hasnan berkata bagi tahun ini dari Januari sehingga semalam polis Perak telah menyelesaikan 2,401 pelbagai kes, melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan. Katanya walaupun tangkapan berkaitan kes membekal dan pengedaran dadah meningkat sebanyak 14.9 peratus atau 197 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos ini namun keadaan adalah terkawal. "Jenayah kekerasan turut mencatatkan peningkatan 2.14 peratus, jenayah komersial seperti penipuan dan pecah amanah juga meningkat dengan nilai kerugian mencecah RM68 juta berbanding RM21.6 juta tahun lalu," katanya. Ketika ditanya mengenai kes tetak seorang warga emas di Tapah Selasa lepas, Hasnan berkata suspek kejadian mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan turut mempunyai perintah sekatan di Selangor akibat penagihan dadah. Katanya suspek baharu sahaja pulang ke kampungnya lebih kurang sebulan dan dipercayai melakukan pembunuhan itu ketika dalam pengaruh dadah. Dalam kejadian itu, mangsa Low Kew @ Low Lin Kiew, 74, ditemukan mati oleh anak sulungnya di dalam rumah di Kampung Baru Air Kuning kira-kira pukul 7.20 malam. Suspek kini direman tujuh hari sehingga 4 Oktober ini untuk siasatan. - BERNAMA