KUALA NERUS: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berharap Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua Pengerusi Badan Perhubungan Umno di setiap negeri dapat menimbang dan menyenaraikan lebih ramai generasi muda sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang. Beliau berkata walaupun masih terlalu awal, langkah itu penting dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis pada masa depan yang dapat memenuhi kehendak rakyat. "Calon generasi muda ini penting kerana rakyat mahu melihat lebih ramai muka baharu, bukan semua kerana kita masih lagi menghargai tokoh-tokoh pemimpin yang banyak pengalaman, cuma kita mahu lihat gandingan mereka yang ada pengalaman dengan calon yang dikatakan mewakili generasi muda pada PRU nanti. "Kita tidak boleh tolak peralihan generasi di negara ini, generasi muda semakin ramai, pengundi muda semakin ramai dan kalau BN dilihat kebelakang dalam usaha kita menyenaraikan generasi muda sebagai calon, maka saya percaya sedikit sebanyak itu akan memberi kesan yang negatif kepada anak-anak muda," katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata BN selalu memberi contoh parti itu mempunyai pemimpin muda, namun mencari pemimpin pelapis berusia awal 30-an sangat perlu kerana pemimpin muda di dalam parti sekarang sudah pun semakin meningkat usianya. "Orang selalu bagi contoh, UMNO ada KJ (Khairy Jamaluddin), tapi KJ pun dah 40 tahun dah, dah semakin tua...semasa saya jadi ahli parlimen buat kali pertama, usia saya 32 tahun, jadi itulah yang perlu kita cari, calon awal 30-an. Kalau kita tak cari dan kalau tak usahakan benda ni...benda ni tak kan jadi...bukan kita kata kita nak orang muda sahaja jadi calon, tidak...kita realistik dengan harapan mahukan lebih ramai calon muda untuk bergandingan dengan tokoh pemimpin lama yang berpengalaman sebagai calon PRU akan datang," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai desas desus senarai calon PRU 14 yang menampilkan lebih ramai generasi muda sebagai calon pilihan raya akan datang. "Kalau betul maklumat itu, saya ucap tahniahlah cuma mesti jadikan ia realiti kerana sebelum ini pun pada PRU-13, ada macam-macam cerita tapi akhirnya banyak tempat yang tidak dapat memenuhi kehendak orang muda," katanya. Beliau berharap semua Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri akan mengambil berat mengenai perkara ini dan merealisasikannya dengan peningkatan muka baharu yang diketengahkan. Terdahulu, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan merasmikan program Jelajah Kampung Rakan Muda 2016 di Universiti Sultan Zainal Abidin di sini.