suria

Ramai Netizen Puji SPRM

KUALA LUMPUR: Kejayaan terbesar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan rampasan RM114.5 juta dalam kes penyalahgunaan kuasa di Sabah mendapat pujian daripada netizen yang melahirkan penghargaan mereka melaui media sosial.

Kes penyalahgunaan kuasa melibatkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion, yang disifatkan sebagai rampasan luar biasa dalam sejarah SPRM, yang dikaitkan dengan penjawat awam di Sabah telah menimbulkan keriuhan di media sosial berikutan netizen berkongsi mesej ucapan tahniah melalui Twitter dan Facebook.

Dalam tinjauan di Twitter menunjukkan SPRM sedang 'trending' manakala ratusan yang lain berkongsi berita kejayaan luar biasa itu sejak ia diketahui semalam.

Seorang netizen yang dikenali sebagai @azrijohans meletakkan posting penuh sindiran dan menyamakan suspek kes sogokan itu dengan raja dadah Colombia, Pablo Escobar, yang merupakan seorang daripada lelaki terkaya dunia berikutan jumlah wang yang dirampas SPRM begitu mengejutkan.

"Ini baru betul Pablo Escobar Malaysia. SPRM rampas RM3 juta dari bilik pengarah Jabatan Bekalan Air Sabah," katanya dalam postingnya yang menarik 1,755 retweet dan 409 likes.

Seorang lagi netizen dikenali sebagai Ng Chun Hown dalam akaun Twitternya juga memuji SPRM: "Tidak kira apa yang berlaku, tahniah kepada SPRM kerana menangkap ikan saiz sederhana di Sabah. Harap lebih banyak lagi yang akan dapat.

Terutama yang benar-benar besar," katanya.

Sazali Mohamad Taib juga menggunakan akaun Facebooknya untuk memuji SPRM dan memberi ulasan bahawa berita-berita sedemikianlah yang ingin diketahui ramai orang.

"Sebahagian daripada masalah adalah perlakuan jenayah namun bahagian yang lain pula yang juga sama penting adalah penjenayah yang tahu mereka akan ditangkap dan menanggung akibatnya! Bayangkan jika tahun ini kita dapat tangkap 30 lebih orang berapa banyak pula wang orang awam akan ditemui," katanya.

Mohd Zulfan Irfan dalam akaun Facebooknya, memuatkan pelbagai pujian di atas keberanian dan tindakan tegas Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad untuk membanteras mereka yang terbabit dalam rasuah sejak pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada 1 Ogos.

"Setinggi-tinggi pujian dan tahniah kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru dilantik pada 1 Ogos 2016, Datuk Dzulkifli Ahmad, terhadap tindakan-tindakan berani dan tegas dalam agenda memerangi rasuah yang dilakukan oleh 'Jerung-jerung besar' dalam jabatan kerajaan," katanya.

Seorang pakar perubatan kecemasan Alzamani Mohammad Idrose pula menyifatkan kes itu sebagai satu perkara yang boleh mencemarkan reputasi penjawat awam dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap mereka.

"Setiap penjawat awam diberikan amanah untuk dipelihara. Tugas kita adalah untuk memelihara amanah ini. SPRM yang begitu berfungsi seperti ini merupakan satu-satunya perkara yang membantu kita memulihkannya, walaupun kerja itu masih belum berakhir," katanya dalam akaun Facebook beliau.

Semalam, SPRM merampas sejumlah wang yang luar biasa berikutan penangkapan penjawat awam, seorang pengarah dan seorang timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan pada Selasa.

SPRM, Rasuah

Artikel Lain