suria

Bajet 2017: PIGBN Mohon Kerajaan, Sektor Swasta Hulur Sumbangan

PETALING JAYA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan kepada kerajaan untuk menyediakan peruntukan dana khusus bagi persatuan itu menjelang pembentangan Bajet 2017.

Presidennya, Profesor Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, hal yang sedemikian kerana pihak PIBG hanya mengharapkan sumbangan ibu bapa yang digunakan termasuk untuk kerja penyelenggaraan dan hal ehwal keselamatan sekolah.

Tambahnya, tidak semua kerja naik taraf menggunakan dana PIBG sepenuhnya dan pihak sekolah juga turut membantu tetapi masih belum mencukupi.

"Walaupun pihak sekolah menerima peruntukan setiap tahun, tetapi masih tidak mencukupi memandangkan peruntukan yang diberikan semakin menurun ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Sehubungan itu, saya juga berharap sektor swasta sama-sama sumbangan bagi meringankan beban ibu bapa pelajar yang selama ini menyumbang untuk tabung PIBG sekolah," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Mohammad Ali menjelaskan, sumbangan yang disalurkan kepada PIBG bukanlah yuran tetap dan ia tidak diwajibkan kepada ibu bapa kerana setiap keluarga hanya perlu memberi sumbangan sekali setahun.

"Sumbangan antara ketiga-tiga pihak terbabit iaitu ibu bapa pelajar, kerajaan dan swasta merupakan usaha yang rasional.

"Kami faham negara kini mengalami masalah ekonomi dan disebabkan itu, jika ketiga-tiga pihak menyalurkan dana yang setimpal, sekurang-kurangnya usaha itu dapat mengurangkan beban semua pihak," katanya.

Bajet 2017 akan dibentangkan di Parlimen pada 21 Oktober ini dan kerajaan mewujudkan laman web khas iaitu http://bajet2017.najibrazak.com bagi memberi peluang orang ramai memberikan cadangan bermula 5 September sehingga 19 September lalu.

Artikel Lain