suria

Bekas Pegawai Pengiring Imbau Kenangan Berkhidmat Untuk Raja Muda Selangor

Kenangan ASP Mohd Akmalrizal (kiri) bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir.

SHAH ALAM: Kisah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyelamatkan nyawa seorang pengawal peribadi, merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh pegawai polis, Asisten Superitenden Polis (ASP) Mohd Akmalrizal Radzi.

Kejadian tersebut berlaku pada 2007 ketika Akmalrizal menjadi pegawai pengiring (ADC) Tengku Amir.

“Pada masa itu, saya sudah menjadi pegawai pengiring Raja Muda selama tiga bulan. Raja Muda dan rakannya melakukan aktiviti white water rafting di Sungai Selangor,” kata Akmalrizal.

Tambahnya, Raja Muda juga membawa beberapa anggota polis sebagai pengawal peribadinya.

Ketika meredah arus deras, seorang daripada pengawalnya tercampak keluar dari rakit getah yang dinaiki mereka.

“Walaupun terdapat ramai lagi pengawal peribadi yang boleh membantu, tetapi Tengku Amir bertindak lebih pantas untuk terjun ke dalam sungai dan menyelamatkan pengawal peribadi tersebut,” kata beliau.

Akmalrizal yang kini berkhidmat di ibu pejabat polis daerah Klang Selatan berkata, insiden tersebut menonjolkan sifat kepimpinan Raja Muda yang sangat teguh.

“Tengku Amir sangat peramah dan sentiasa mencuba untuk menyesuaikan diri dalam setiap situasi bagi memastikan tiada jurang di antara mereka,” kata dia.

Akmalrizal yang juga pernah bertugas sebagai setiausaha sulit kepada Raja Muda berkata, satu lagi contoh kepimpinan Tengku Amir adalah ketika mmembentuk satu pasukan paintball yang kuat di istana.

“Ketika itu, kami memerlukan kumpulan untuk layak bermain dalam liga paintball Malaysia, tetapi Tuanku Raja Muda hanya mempunyai tiga rakannya diserapkan dalam pasukan berkenaan.

“Jadi, Tengku Amir menyenaraikan pekerja istana, pengawal peribadi termasuk tukang masak istana untuk membentuk dua kumpulan yang dinamakan sebagai Black Knights dan White Knights bagi menjalani latihan sesama mereka.

“Namun pada mulanya, kami mendapati latihan tersebut agak sukar kerana kami tidak mahu mengasari Raja Muda, sekali gus menjadi punca kekalahan kami," jelas Akmalrizal.

Jelas beliau, Tengku Amir kemudiannya berpesan supaya menganggapnya sebagai ahli pasukan, bukan Raja Muda ketika dalam permainan.

Pada ketika itu, Tengku Amir baru sahaja berusia kira-kira 20 tahun, tetapi melayan setiap ahli pasukan dengan sama rata selain merancang strategi permainan untuk membawa pasukan istana ke pusingan akhir.

"Saya menikmati banyak kenangan manis ketika bertugas sebagai ADC Tengku Amir.

"Raja Muda juga merupakan seorang yang suka berjenaka selain mengambil berat kebajikan rakyat," katanya.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir

Artikel Lain