PETALING JAYA: Muzium Coklat pertama di negara ini dan rantau Asia Tenggara buat julung kalinya menganjurkan pertandingan ukiran coklat di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. Sepuluh kumpulan menyertai pertandingan ini, antaranya pelajar Institut Kemahiran Belia Negara Peretak SEGI College Kota Damansara, Kolej Yayasan Pahang, Silverspoon International College, Management Science University dan Showme International College, Terengganu. Pengarah Eksekutif Kumpulan DR Group, Datuk Arshad Desa berkata, platform ini digunakan untuk menambah ilmu pelajar selain memberi kesedaran mengenai kebaikan coklat. "Flora dan fauna menjadi tema pilihan untuk pertandingan kali ini. "Penilaian hasil ukiran akan dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk nilai artistik dan ketulenan idea setiap kumpulan," katanya ketika ditemui di Muzium Coklat Kota Damansara, dekat sini. Pertandingan kali kedua ini mengubah pendekatan apabila membuka peluang di kalangan pelajar IPT, berbanding penyertaan chef sektor perhotelan sebelum ini. Pada majlis taklimat yang berlangsung pada Selasa, setiap kumpulan dibekalkan sebanyak 10 kilogram coklat untuk menghasilkan ukiran daripada bahan asas itu. Semua peserta diberi masa sehingga kira-kira tiga minggu untuk menyiapkan ukiran coklat sebelum menyerahkan karya masing-masing pada 3 November ini untuk dinilai juri profesional. Pameran ukiran coklat itu yang dihasilkan 10 peserta terlibat akan dibuka kepada orang ramai bermula 10 pagi di Muzium Coklat pada 3 November. Pemenang pertandingan berpeluang menerima wang tunai, baucer, trofi dan sijil.