suria

Suami Isteri Warga Filipina Hidup Mewah Guna Dokumen Palsu Ditahan

LUMUT: Dua pasang suami isteri bersama barang kemas bernilai puluhan ribu ringgit merupakan antara 23 warga Filipina yang ditahan dalam Op ID di beberapa lokasi di sekitar daerah Manjung di sini awal pagi Jumaat.

Pasangan berkenaan yang berumur sekitar 30-an ditahan di rumah mereka di Kampung Deralik kira-kira pukul 5 pagi tadi bersama barang kemas bernilai hampir RM30,000.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mohamad Yusri Hashim berkata pasangan itu hidup mewah hanya dengan menggunakan kad pengenalan dan sijil kemahiran palsu untuk mendapatkan kerja.

"Mereka ini memang hidup mewah, pemeriksaan di rumah menemukan seutas jam tangan jenama Rolex bernilai sekitar RM10,000.

"Kita percaya ini hasil daripada si suami yang bekerja di sebuah syarikat swasta terkenal menggunakan sijil kemahiran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) palsu," katanya dalam sidang media pada akhir operasi itu di sini Jumaat.

Operasi oleh JPN Putrajaya dan Perak itu bermula pada pukul 12.30 tengah malam Khamis dan berakhir kira-kira pukul 7 pagi yang turut disertai Tentera Darat dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Mohamad Yusri berkata dalam satu lagi serbuan di Taman Semudera, pihaknya menahan sepasang lagi suami isteri warga Filipina bersama barangan kemas bernilai RM20,000.

"Kita juga menemukan dua utas jam tangan berjenama dan wang tunai sebanyak RM850 serta beberapa resit gadaian emas yang belum dipajak bernilai ribuan ringgit," katanya.

Beliau berkata dalam operasi itu, semua yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 60 tahun atas pelbagai kesalahan termasuk memalsukan kad pengenalan selain menggunakan kad pengenalan orang lain.

Katanya operasi berkenaan turut menemukan beberapa sijil kelahiran palsu, kad akaun bank, sijil nikah palsu, kad pesara polis palsu dan lesen memandu palsu.

"Siasatan mendapati mereka membeli kad pengenalan palsu di Sabah dengan harga serendah RM400 sehingga mencecah ribuan ringgit.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya," katanya. - BERNAMA

warga Filipina, penipuan, OP ID

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain