suria

ETS Bakal Dilengkapi WiFi - Liow

Liow menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Tahunan MCA negeri Perak di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah pada Sabtu. Foto Bernama

IPOH: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan dilengkapi dengan kemudahan internet tanpa wayar atau Wifi bagi memudahkan pengguna menyiapkan kerja semasa dalam perjalanan ke sesuatu destinasi.  

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan orang ramai supaya ETS dilengkapi kemudahan Wifi sebagai usaha ke arah melaksanakan transformasi dalam sistem pengangkutan negara. 

"Setakat ini ramai yang puas hati dengan perkhidmatan ETS, ada setengah stesen moden dan mana yang uzur kita kena perbaiki. Selain memasang Wifi kita juga kena pastikan ia sentiasa bersih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Perak 2016 di sini, Sabtu yang dihadiri 1,800 perwakilan.

Secara purata, seramai 6,000 orang menggunakan perkhidmatan ETS setiap hari pada hari biasa, manakala pada hujung minggu serta cuti umum jumlah itu meningkat sekali ganda kepada 12,000 orang.

Mengenai Majlis Pengangkutan Nasional, Liow berkata inisiatif yang diumumkannya pada Isnin lepas itu dijadual memulakan mesyuarat pertama hujung tahun ini. 

Katanya, pada peringkat permulaan, mesyuarat tersebut akan memberi tumpuan kepada penyelarasan sistem pengangkutan di seluruh negara agar tiada negeri yang tertinggal.

Liow ketika mengumumkan penubuhan majlis itu di Kota Kinabalu, Sabah berkata, ia merupakan platform untuk membincang, mengkaji dan menyelesaikan isu berkaitan pengangkutan membabitkan kementeriannya dan semua agensi berkaitan. - Bernama

ETS

Artikel Lain