suria

Politik Kebencian Satu Jenayah - Annuar Musa

Annuar Musa.

KEPALA BATAS: Negara akan menuju kehancuran jika rakyat terjebak dalam sentimen politik kebencian yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa. 

Annuar memberitahu sidang media selepas sesi penerangan dengan anggota Umno di Kepala Batas berkata, politik kebencian terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat.

"Orang berkata bahawa Umno bersifat perkauman. Gerakan, MCA dan MIC tidak berkuasa tetapi ia tidak benar. Umno tidak pernah bersikap rasis kerana kami-lah yang mula-mula sekali bekerjasama dengan pelbagai parti berteraskan latar belakang kaum yang berbeza," katanya.

Annuar juga berkata, politik kebencian dianggap sebagai jenayah kerana ia boleh menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui demokrasi memandangkan ia boleh mencetuskan huru-hara dalam negara.

"Kita tidak mahu melihat politik kebencian di negara yang tercinta ini," katanya sambil merujuk kepada Arab Spring sebagai contoh apabila rakyat memainkan sentimen politik kebencian dan negara mengalami kehancuran.

Semasa sesi di sini, Annuar telah melancarkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai Malaysia4All untuk menghubungkan jentera penerangan parti dengan kepimpinan bagi menangkis segala fitnah terhadap kerajaan.

Aplikasi itu yang dibuka kepada semua anggota Umno digunakan sebagai platform untuk menyebarkan maklumat yang boleh dipercayai kepada orang ramai melalui platform media sosial seperti Facebook dan Twitter. 

"Peringkat pertama membabitkan penyaluran maklumat kepada kira-kira 500,000 jentera Umno. Selepas itu, aplikasi tersebut akan dibuka kepada semua anggota," kata beliau.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Penang Front Party (PFP) yang ditubuhkan baru-baru ini, Annuar berkata parti itu bukan sebahagian daripada Umno. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain