KUALA SELANGOR: Wartawan The Star yang membuat liputan mengenai konvoi Bersih 5.0 merupakan antara yang dikasari oleh sekumpulan penyokong anti-Bersih di luar sebuah pasar raya besar di sini, Sabtu. Kumpulan anti-Bersih yang membabitkan 30 orang menunggang motosikal memenuhi kawasan para penyokong Bersih yang sedang mengedarkan risalah pada kira-kira pukul 6 petang. Sebahagian daripada mereka meninggikan bunyi bising motosikal bagi melakukan provokasi terhadap penyokong Bersih. Kira-kira lima anggota kumpulan anti-Bersih dengan sebahagian daripada mereka memakai baju merah menghampiri dua wartawan dan seorang juruvideo dari The Star, bagi menghalang mereka daripada merakam dan melaporkan insiden berkenaan. Salah seorang daripada wartawan secara kasar diarahkan supaya memadam video yang merakamkan insiden berlaku antara penyokong kedua-dua kumpulan itu. Mereka kemudiannya menarik kolar pemberita wanita itu yang enggan memadam rakaman berkenaan, dengan menolaknya sambil menjerit "padam, padam". Mereka turut kedengaran menjerit: "You dari mana? Malaysiakini!" Wartawan itu kemudiannya memberitahu dia dari The Star. Seorang lagi wartawan The Star turut dikasari semasa mahu cuba mempertahankan rakan setugasnya dari terus diganggu. Wartawan tersebut ditolak ke tepi oleh seorang anggota kumpulan itu dan bertanyakan sekiranya dia adalah wartawan dari Malaysiakini. Dia kemudiannya memberitahu merupakan wartawan dari The Star. Sementara itu, juruvideo The Star yang dikepung kumpulan itu turut dipaksa memadamkan rakaman yang digunakan menerusi telefon bimbit. Kumpulan tersebut turut merampas telefon berkenaan dan mengambil gambar kad perakuan mediannya. Sekumpulan anggota polis kemudian tiba di tempat kejadian bagi mengawal keadaan. Beberapa anggota kumpulan anti-Bersih ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Selangor. Wartawan The Star kemudiannya membuat laporan polis di ibu pejabat polis Kuala Selangor, yang turut disertai beberapa anggota Bersih 5.0.