suria

Penganjur Bersih 5 Juga Harus Ditahan - Irmohizam

Irmohizam Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Penganjur Bersih 5 juga harus ditahan susulan penahanan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos, jika beliau disiasat mengikut Akta Hasutan 1948, kata Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Irmohizam berkata, ini kerana konvoi Bersih lebih ketara mengheret orang ramai untuk berhimpun sambil berdakwah untuk membenci kerajaan.

"Kita akan melihat lebih banyak insiden perpecahan rakyat dan pencabulan keharmonian negara. Bersih 5 hanyalah medium untuk pembangkang berpolitik yang secara zahirnya murni pada mata rakyat (sedangkan) hakikatnya meninggalkan kesan kotor kepada kesejahteraan negara," katanya.

Irmohizam berkata, sekiranya himpunan itu diteruskan, ia berkemungkinan turut mengundang ancaman pengganas seperti Daesh yang mensasarkan tempat tumpuan ramai.

"Jika perhimpunan ini dibenarkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2011, maka kerajaan perlu pertimbangkan juga Akta Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Pada pagi Rabu, Jamal ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, dan direman dua hari.

Jamal disiasat mengikut empat akta iaitu Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 dan 503 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berikutan beberapa laporan polis yang dibuat ke atasnya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain