ASSALAMUALAIKUM. Sewaktu menulis catatan ini, genap seminggu saya kembali ke tanah air setelah berada 38 hari di Tanah Suci Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadat haji. Segala-galanya masih segar di ingatan. Terharu, bersyukur dan gembira. Itulah yang boleh saya gambarkan perasaan saya ketika diundang lagi sebagai tetamu Allah SWT untuk mengerjakan rukun Islam kelima. Terasa amat bertuah dengan peluang yang diperoleh selain tanggungjawab menggalas tugas sebagai petugas haji Destinasia Travels Sdn Bhd. Pemergian kali ini membuka peluang kepada saya menimba lebih banyak pengalaman, sekali gus menjadikan saya lebih yakin dan matang untuk memenuhi tanggungjawab sebagai petugas haji pada masa akan datang, insyaAllah. Penat lelah tidak saya rasakan. Keluhan jauh sekali. Saya menganggap dan memandang setiap yang dilalui sebagai pengalaman baru dan membolehkan saya mengenali setiap jemaah dengan lebih dekat. Ketika dalam perjalanan pulang dari Madinah ke Makkah, seorang jemaah, kak hajah Fatimah bertanya. “Hajah mesti penat menguruskan jemaah. Kena bawa ke sana sini sebab mereka tidak sihat. Macam mana tu hajah?” tanya beliau di dalam pesawat Saudi Airlines yang berlepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz pada jam 11 malam waktu tempatan. “Alhamdulillah kak, semua Ana anggap pengalaman baru. Tak jadi masalah,” balas saya. Di dalam hati saya berkata-kata, tahun lalu ketika menggalas tugas sebagai petugas haji saya melalui pengalaman lain dan tahun ini berbeza. Namun, segala-galanya berjalan lancar dan paling penting jemaah gembira. Tempoh 38 hari bermula dari menginap di Hotel Zewar Mashaer di Aziziah, Hotel Movenpick di Makkah dan Millenium Aqeeq di Madinah menjadikan saya begitu rapat dengan jemaah, terutama wanita seramai 80 orang. Gembira melihat mereka tertawa, tersenyum dan bergurau senda. Bersyukur melihat mereka begitu rajin mengerjakan solat berjemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kami umpama sebuah keluarga. Terlalu banyak kenangan yang tidak mampu saya tulis di dalam ruangan yang sungguh terbatas ini. Namun, saya garapkan kenangan indah itu bersama-sama mereka bermula dari Aziziah hingga Madinah. Ketika bertemu kali pertama di KLIA, sudah tentu semua jemaah sibuk melayan keluarga masing-masing sebelum berlepas. Setelah tiba di Hotel Zewar Mashaer di Aziziah, saya mula mendekati mereka apabila berkunjung dari bilik ke bilik. Saya terasa begitu dihormati kerana mereka menyambut kedatangan saya dengan penuh kegembiraan dan keramahan. Saya memasuki setiap bilik jemaah wanita untuk mengambil nama mereka. Ada yang memberi saya minum jus dan tidak kurang juga menghulurkan makanan kering. Ternyata, mereka gembira menerima kedatangan saya. Tiba kemuncak ibadat haji iaitu wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan berjalan kaki beramai-ramai ke Mina untuk melontar ketiga-tiga jamrah menyebabkan hubungan terus terjalin erat. Selesai melontar dan sebelum berangkat ke Hotel Movenpick di Makkah, ramai jemaah mula kelihatan lemah dan tidak sihat. Sana sini terdengar batuk bersahutan. Saya tidak terkecuali. Namun, Alhamdulillah, ubat yang diberi oleh jemaah sebilik saya, kak Izan membantu melegakan batuk selain vitamin C daripada, Mimi. Pada suatu malam, saya perlu membawa jemaah ke Abeer Medical Centre di Aziziah. Bertemankan seorang lagi petugas iaitu Mahmud, saya bersama-sama jemaah yang tidak sihat, kak Fauziah berjalan ke pusat perubatan yang terletak kira-kira 80 meter dari Hotel Zewar Mashaer. Jemaah itu demam, batuk, selesema dan sakit tekak. Sebelum meninggalkan Aziziah, seorang lagi jemaah iaitu Siti Nor Kamilah, 29, mengadu telinganya terasa sakit dan sukar mendengar kerana demam beberapa hari. Mulanya saya tidak tahu adakah perlu membawanya ke Abeer Medical Centre atau sebaliknya kerana bas yang akan membawa jemaah ke Makkah dijadualkan tiba pada jam 8 pagi sedangkan ketika itu sudah jam 7 pagi. Saya lantas bertanya pada Pengurus Operasi, Haji Masrol Apandi dan beliau mengatakan masih sempat untuk dibawa ke pusat perubatan itu, insha Allah. Alhamdulillah, Abeer Medical Centre yang hanya lima minit berjalan kaki tidak ramai pesakit pada pagi itu. Setelah mendaftar di kaunter, saya mengajak jemaah itu ke bilik rawatan. Hanya ada seorang pesakit ketika kami hendak masuk ke dalam bilik rawatan. Hairan juga kerana tiada nombor giliran dan pesakit boleh masuk ke bilik rawatan begitu sahaja. Sejurus melihat pesakit di dalam bilik keluar, saya terus menyuruh Siti Nor Kamilah masuk dan turut ditemani suaminya. Saya turut masuk ke dalam bilik rawatan. Doktor memeriksa telinga beliau dan menulis ubat-ubatan yang perlu diambil, termasuk suntikan untuk mempercepatkan lagi proses penyembuhan. Ubat-ubatan perlu dibeli dari farmasi dan saya mendapati farmasi masih tutup lalu menyarankan kepada jemaah agar membelinya sejurus tiba di Hotel Movenpick. Kami bertiga berjalan pulang ke Hotel Zewar Mashaer dan setengah jam selepas itu, bersiap sedia di lobi untuk menunggu bas yang membawa jemaah ke Hotel Movenpick Makkah. Saya sangka setelah berada di Makkah, jemaah akan membawa haluan masing-masing kerana sebahagian besar daripada mereka pernah menunaikan umrah dan tentu sekali Makkah tidak lagi asing buat mereka. Namun, jangkaan saya meleset. Hubungan terus akrab kerana ketika bersarapan, makan tengah hari dan makan malam kami tentu berjumpa di restoran. Pada masa ini juga saya merebut peluang untuk bersama-sama jemaah dengan duduk makan bersama-sama mereka serta bertanya khabar. Cuaca panas mencecah hingga 47 darjah Celcius menyebabkan ramai jemaah tidak sihat. Namun, alhamdulillah, mereka sekadar mengalami sakit ringan dan masih mampu untuk beribadat serta berziarah. Klinik Tabung Haji yang terletak di paras 22 Hotel Safwa Royale Orchid kerap dikunjungi untuk membawa jemaah wanita. Kedudukannya memudahkan jemaah untuk pergi sendiri atau secara berteman. Jemaah mendapatkan rawatan di klinik yang disediakan Tabung Haji di Hotel Safwa Royale Orchid Makkah. Beberapa kali juga saya membawa jemaah ke klinik tabung haji dan pengalaman lucu yang tidak dapat saya lupakan apabila membawa kak Zaleha pada suatu petang selepas solat Asar. “Ana, kakak tak sihat. Boleh Ana temankan kak ke klinik?” tanya kak Zaleha. “InsyaAllah boleh. Kita pergi lepas Asar. Tunggu Ana di lobi jam 4.30 petang ye,” ujar saya. “Terima kasih Ana,” balas kak Zaleha dari Pasir Gudang, Johor. “Kak jangan lupa bawa tag nama sekali. Jika ada buku kesihatan yang warna putih lagi bagus,” pesan saya lagi. “Buku putih tak ada. Terlekat dalam passport,” balas kak Zaleha. “Ok macam tu kak bawa tag nama saja,” ujar saya lagi. Seperti dijanjikan, kak Zaleha dan saya berjalan kaki ke klinik yang terletak hanya di bangunan bersebelahan hotel penginapan kami. Tiba di klinik, kak Zaleha mendaftar dengan menunjukkan tag nama beliau. Saya sekadar memerhati. Petugas klinik mencatatkan sesuatu. Kami kemudiannya duduk di dereten kerusi. Ketika itu jam 4.40 petang. Saya menunggu sambil membaca pelbagai catatan di dalam telefon bimbit manakala kak Zaleha pula tidur-tidur ayam. Seorang demi seorang nama jemaah dipanggil. Jam di tangan menunjukkan jam 5.30 petang. Saya kehairanan kerana nama kak Zaleha belum juga dipanggil sedangkan pesakit yang kemudian sudahpun menerima rawatan. Pada jam 5.40 petang, petugas klinik menghampiri saya dan bertanya: “Siapa yang sakit?” tanya beliau kerana melihatkan saya juga sesekali terbatuk. Saya lantas menunjukkan kak Zaleha yang ada di sebelah kanan saya. “Mana buku rawatan?” tanya petugas itu lagi. “Tiada tapi tadi hajah ni dah letakkan tag nama masa daftar tadi,” balas saya. Petugas itu menghampiri meja pendaftaran dan bertanya: “Tag nama ni ke?”. “Ye. Tag nama yang ada tali penyandang (lanyard) biru…,” balas saya lagi. “Nama dah panggil tadi,” ujar petugas itu bersungguh. “Belum,” balas saya penuh yakin. “Dah panggil tadi puan hajah. Nama pesakit Fatimah kan?” tanya beliau. “Bukan. Nama jemaah ini Zaleha,” ujar saya sambil memandang kak Zaleha. Spontan kak Zaleha menjawab bahawa dia terbawa tag nama jemaah lain. Saya tertawa dan mengatakan: “Hah, kak bawa tag nama kak Timah…” ujar saya sambil terus ketawa. Kak Zaleha yang termangu-mangu ketika itu diminta ke kaunter untuk memberi nombor pasport tetapi beliau tidak ingat dan meminta kami menunggu seketika untuk melihat di dalam telefon bimbit. Serentak saya dan petugas klinik mengatakan masuk saja dahulu ke klinik untuk menerima rawatan. Saya juga memohon agar pihak klinik mengambil nombor kad pengenalan kak Zaleha dan bukan nombor pasport. Kak Zaleha sempat menulis nombor kad pengenalannya pada sekeping kertas sebelum masuk ke dalam klinik yang ditutup pada jam 6 petang. Kira-kira 10 minit kemudian, kak Zaleha keluar dari bilik rawatan dan kami bergegas pulang kerana mahu bersiap ke Masjidil Haram bagi menunaikan solat Maghrib. Mengingat kembali reaksi kak Zaleha dan tawa saya ketika mengetahui dia terbawa tag nama kak Fatimah menyebabkan saya tersenyum sendirian. Ikuti sambungan pengalaman haji saya pada minggu hadapan, insyaAllah.