suria

AirAsia Batal Penerbangan Ke Destinasi Dilanda Taufan Haima

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Beberapa penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Langkawi dan Johor Baru ke selatan China dan Taiwan bagi perjalanan Khamis dan Jumaat akan terjejas akibat Taufan Haima.

AirAsia, dalam kenyataan pada Rabu berkata berikutan taufan itu, beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan atau diubah jadualnya termasuk penerbangan Khamis dari/ke Kota Kinabalu ke selatan China (Hong Kong, Shenzhen, Hangzhou, Wuhan dan Guangzhou) dan Taiwan (Taipei).

Turut terjejas pada Khamis adalah penerbangan ke/dari Kuala Lumpur ke Kaohsiung, Shenzhen dan Guangzhou dan dari/ke Johor Bahru ke Guangzhou.

Penerbangan yang dibatalkan dan dijadualkan semula pada Jumaat adalah penerbangan dari/ke Kota Kinabalu ke selatan China (Hong Kong, Shenzhen, Hangzhou, Wuhan dan Guangzhou) dan Taiwan (Taipei).

Turut dibatalkan dan dijadualkan semula adalah penerbangan ke/dari Kuala Lumpur ke Shantou, Changsha, Shenzhen, Hong Kong, Guangzhou, Macao; penerbangan ke/dari Johor Bahru ke Guangzhou dan penerbangan ke/dari Langkawi ke Guangzhou.

"Semua penumpang yang terjejas akan dimaklumkan AirAsia menerusi e-mel dan SMS," tambah kenyataan itu.

AirAsia juga menggalakkan semua penumpang untuk mengemaskinikan maklumat mereka di airasia.com bagi memastikan mereka dimaklumkan mengenai perkembangan penerbangan mereka.

Syarikat itu juga menjelaskan mereka akan memantau impak taufan itu dan akan terus memaklumkan kepada penumpang mengenai sebarang perubahan ekoran Taufan Haima.

AirAsia juga menasihatkan semua penumpang ke kawasan terbabit untuk memeriksa status penerbangan mereka menerusi laman web syarikat itu serta laman sosial Facebook dan Twitter. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain