PUTRAJAYA: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah meminta graduan tidak memandang ringan dan mengambil mudah trend penyebaran maklumat palsu menerusi media sosial. Baginda yang juga Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bertitah penyebaran dan perkongsian maklumat palsu itu merupakan kebimbangan yang menjadi cabaran semasa kepada semua. "Saya ingin menyeru agar kita semua peka terhadap trend penyebaran maklumat masa kini, di mana tidak kira usia, gajet akan sentiasa berada di tangan dan akses kepada maklumat terkini menjadi sangat mudah. "Namun, dalam keasyikan untuk menjadi yang pertama dalam menyebarkan berita terkini atau sensasi yang boleh menjadi viral, sering kali kesahihan sesuatu maklumat disebarkan itu tidak lagi menjadi keutamaan," titah baginda pada Konvokesyen Ke-13 UniKL di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu. Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa. Tengku Abdullah bertitah semua pihak termasuk graduan perlu menghargai kebebasan perkongsian maklumat dengan lebih berhemah dengan mengambil tanggungjawab terhadap segala perkara yang disebarkan. "Saya harap graduan tidak memandang ringan isu dan cabaran yang sedang dihadapi dan memikirkan sedalam-dalamnya pesanan yang saya sampaikan," titah baginda. Konvokesyen tiga hari itu, yang bermula pada Sabtu, menyaksikan 6,105 graduan dari 12 kampus UniKL di seluruh negara menerima ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda, diploma dan sijil masing-masing. Pada majlis itu, bekas Perdana Menteri Itali Prof Enrico Letta dianugerahkanIjazah Doktor Kehormat Pengurusan bagi menghargai usahanya memberi komitmen dan sumbangan kepada hubungan dua hala Itali dan Asean. Selain itu, bekas Ketua Pengarah MARA Datuk Dr Zamani Md Noor dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Pengurusan berikutan sumbangan besarnya kepada UniKL, MARA dan negara. -Bernama