SUNGAI PETANI: Tindakan beberapa anggota Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat semasa pembentangan Bajet 2017 pada Jumaat dilihat satu tindakan yang sangat mengecewakan dan tidak profesional. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata walaupun mereka bebas untuk bertindak sedemikian namun sebagai anggota Parlimen, mereka mempunyai peluang untuk membahaskan bajet tersebut di Dewan Rakyat selama dua minggu. "Pada ucapan belanjawan saya lihat kita harus mempamerkan tindakan profesional, semalam (Jumaat) ialah peluang kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib TunRazak) sebagai Menteri Kewangan untuk bentangkan bajet. "Kalau tidak setuju boleh nyatakan dalam ucapan, perbahasan dan sebagainya, ramai yang kecam tindakan tersebut kerana ia kurang matang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fit Malaysia peringkat negeri di sini pada Jumaat. Anggota Parlimen pembangkang daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara serta Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak keluar dewan ketika pembentangan Bajet bertema 'Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh' masih berlangsung. Anggota Parlimen pembangkang turut membuat kecoh dengan mempamerkan plakad bernada sinis sebelum bertindak demikian.