KUALA LUMPUR: Tindakan polis menahan seorang doktor perubatan yang melarikan diri ketika satu operasi dijalankan berhampiran Hospital Serdang adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan bukan penganiayaan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Khalid dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata tanggapan bahawa tangkapan terhadap Dr R. Thanendran adalah suatu penganiayaan adalah salah kerana apa yang dikatakan itu tidak wujud. Katanya jika doktor itu bekerjasama dengan polis semasa serbuan tidak mungkin sama sekali beliau akan ditangkap. "Kenapa hanya subjek seorang sahaja yang melarikan diri sedangkan doktor bedah, pelanggan dan pekerja gerai yang ada lebih kurang 10 orang ketika itu tidak berbuat demikian. "Jelasnya mereka sedia maklum operasi sedang berlangsung berdasarkan jeritan 'polis' yang dilaungkan oleh pihak polis, serta ves kalis peluru yang tertera dengan perkataan polis dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) yang dipakai semasa serbuan dijalankan," katanya. Dalam pada itu, Khalid turut menafikan doktor berkenaan terjatuh kerana ditendang atau ditumbuk anggota polis. "Kenyataan ini tidak benar sama sekali malahan Dr Thanendran sendiri dalam laporan perubatannya menyatakan bahawa beliau 'stumbled and slipped dan fell in front of hospital lobby'. "Beliau jatuh sendiri berhampiran tangga menuju ke arah lobi. Dalam proses menangkap, beliau masih melawan dan anggota polis terpaksa menggari beliau," katanya. Khalid berkata gari doktor itu dibuka setelah seorang Pakar Bedah Kardiaotorasik mengesahkan dan memaklumkan kepada polis bahawa Dr Thanendran merupakan seorang doktor di Hospital Serdang. "Selepas doktor itu duduk di kerusi gerai, gari telah dibuka dan beliau telah diberikan air minuman untuk menenangkannya. Tiada sebarang kekerasan digunakan sepanjang berada di gerai," katanya. Khalid berkata tindakan membawa Dr Thanendran ke balai polis untuk siasatan lanjut bukan dibuat sewenang-wenangnya malahan dibuat kerana ada syak wasangka akibat daripada tindakannya yang melarikan diri semasa serbuan. Menurutnya, sepanjang tempoh berada di Balai Polis Sri Serdang, doktor itu dilayan dengan baik dan ditempatkan di bilik yang berhawa dingin selain permintaan beliau untuk menerima rawatan juga telah dipenuhi dan tidak dihalang oleh polis. Katanya sepanjang berada di balai polis lain-lain penjenayah ditahan turut menafikan mempunyai hubungan dengan Dr Thanendran. "Jelas insiden yang berlaku bukan berpunca dari kecuaian atau kegagalan polis mengikut prosedur yang ditetapkan. Insiden sebegini sudah tentu dapat dielakkan jika pihak terbabit akur dengan arahan polis yang datang dengan kelengkapan 'head to toe' bagi mempamerkan kehadiran mereka sebagai pegawai. "Saya berharap insiden ini tidak dimanipulasikan sehingga boleh memburukkan imej dan kredibiliti PDRM. Pihak-pihak yang terbabit juga dinasihatkan untuk tidak membuat kenyataan serong sebelum mengetahui punca sebenar di sebalik apa yang berlaku," katanya. Pada 7 Oktober lepas, polis menahan seorang lelaki yang kemudian dikenali sebagai Dr R. Thanendran ketika melakukan Op Tajam di gerai bersebelahan Hospital Serdang di mana beliau bertindak melarikan diri ketika operasi sedang dilakukan.