SINGAPURA: Jayden Chua, 10, sentiasa mengimpikan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Avengers dan menyelamatkan dunia. Dengan pelancaran pameran Marvel Avengers S.T.A.T.I.O.N oleh Kumpulan Media Star di sini, Jayden kini boleh merealisasikan impiannya itu. Dia boleh memakai sut Iron Man dan menembak penjahat menggunakan letupan laser. Walapun watak filem Avengers kegemarannya adalah Captain America, Jayden berasa kagum apabila melihat Iron Man dengan perisai berwarna merah dan keemasan yang dibawa ke pameran tersebut. "Menembak penjahat dengan tapak tangan saya amat mengujakan. Keseluruhan pameran adalah satu pengalaman yang hebat kerana saya dapat belajar mengenai karakter komik lain seperti The Hulk dan Hawkeye. "Saya merupakan peminat Captain America sejak filem Avengers ditayangkan buat pertama kalinya. Jadi ia cara yang menyeronokkan untuk belajar mengenainya dan keseluruhan pasukan," kata Jayden pada majlis perasmian pameran itu di Pusat Sains Singapura (SCS) di sini pada Jumaat. Pameran Avengers S.T.A.T.I.O.N. dikendalikan Victory Hill Exhibitions Pte Ltd (VHE), anak syarikat Cityneon Holdings Ltd dan 53 % sahamnya dimiliki Kumpulan Media Star. Ia akan berlangsung sehingga 5 Mac tahun depan di Dewan Annex SCS. Pengurus Wendy Lee, 40, yang membawa bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun berkata pameran itu merupakan salah satu kaedah untuk pelawat memahami sains di sebalik watak adiwira kegemaran mereka. "Saya fikir sesiapa sahaja harus mengambil peluang untuk melawat pameran itu bersama dengan keluarga dan rakan-rakan mereka terutamanya semasa cuti sekolah yang akan datang," katanya. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata pameran itu mendapat sokongan memberangsangkan walaupun ia hanya dibuka pada Sabtu dengan mencatatkan rekod penjualan tiket lebih 8,000 pada pra pelancarannya. "Saya fikir ada budak lelaki dan perempuan di kalangan kita semua suka melihat watak kegemaran mereka secara langsung. "Pameran ini juga pasti membantu memenuhi fantasi zaman kanak-kanak untuk menjadi superhero," katanya.