suria

Warga Singapura Dikhuatiri Lemas Ketika Berkayak

IPOH: Seorang lelaki warga Singapura dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti berkayak bersama enam lagi rakannya di Sungai Tesong di Felda Sungai Klah dekat Sungkai pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Mohd Nadzir Abd Razak berkata mangsa, Koh Kah Wei, 30, menyertai satu kumpulan dari Singapura melakukan aktiviti itu sebelum terjatuh daripada kayaknya.

"Kayak yang mangsa naiki terlanggar kayu sebelum terbalik dan mangsa terjatuh dalam sungai. Rakannya cuba membantu tetapi gagal kerana arus deras," katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan mangsa pada pukul 4.48 petang dan satu jentera bersama enam anggota diarahkan ke tempat kejadian.

"Operasi mencari dilakukan dengan menyusuri sungai dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) mencari di tempat mangsa jatuh. Arus deras, hujan lebat dan cuaca gelap menyukarkan operasi itu.

"Operasi disambung semula pada pukul 8 pagi tadi dengan bantuan polis dan Angkatan Pertahanan Awam," katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti air ketika fenomena monsun timur laut bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. - BERNAMA

warga Singapura, lemas, berkayak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain