suria

AirAsia X Tawar Tambang Sehala RM99

KUALA LUMPUR: AirAsia X, syarikat penerbangan tambang rendah perjalanan jarak jauh, menawarkan tempat duduk promosi dengan tambang asas daripada RM99 sehala dan hadiah percuma penerbangan setiap hari sempena ulang tahunnya yang kesembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Bhd, Benyamin Ismail, berkata bagi memperingatinya, syarikat itu menawarkan 99,999 tempat duduk promosi untuk penumpang bagi memperingati tambang pelancarannya semasa beroperasi kali pertama ke Gold Coast,Australia pada 2007, merealisasikan impian setiap orang untuk terbang walaupun selepas sembilan tahun. 

"Bagi memeriahkan lagi, kami memperuntukkan satu pesawat ulang tahun khusus untuk penumpang kami dan AirAsia Allstars, kerana kedua-duanya merupakan tulang belakang syarikat penerbangan tersebut. 

"Kini kami kembali mencatat keuntungan tiga suku berturut-turut, dan kami yakin menerusi usaha padu pasukan, kami akan mencapai keuntungan setahun penuh dan membawa syarikat penerbangan ini ke tahap yang lebih cemerlang," kata Benyamin dalam satu kenyataan pada Isnin.

Promosi ulang tahun itu dibuka untuk tempahan di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia mulai sekarang hingga 6 November 2016, bagi tempoh perjalanan mulai 6 Februari hingga 28 Oktober 2017. 

Penumpang AirAsia X yang berlepas pada 2 November 2016 juga berpeluang menikmati sajian panas berasingan (ala-carte) berharga cuma RM9 apabila mereka membelinya dalam pesawat, potongan 50 peratus daripada harga menu.  

AirAsia X kini memberi perkhidmatan ke 23 destinasi di Asia, Australia, New Zealand, Negara Timur Tengah dan Afika.

Ia membawa 19 juta penumpang sejak mula beroperasi pada 2007. - Bernama

Artikel Lain