suria

Tindakan Terhadap Tiga Anggota Parlimen Diserah Kepada Polis

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melihat buku biografi 'Being Abdullah Ahmad Badawi' bersama bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (tiga, kiri) pada pelancaran buku tersebut di Sime Darby Convention Centre, Isnin. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) dan penulis buku itu Datuk Wong Puan Wah @ Wong Sulong.

KUALA LUMPUR: Sebarang tindakan terhadap tiga anggota Parlimen, yang juga bekas anggota Kabinet, yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan di Dewan Rakyat akan ditentukan oleh polis menurut perundangan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika  didapati ucapan individu berkenaan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972,  polis akan menyerahkan keputusan siasatan kepada Peguam Negara untuk membuat pertuduhan.

"Walaupun anggota Parlimen mempunyai kekebalan apabila berucap di Dewan Rakyat atau Dewan Negara, namun anggota Kabinet terikat dengan OSA dan sumpah simpan rahsia kerajaan.

"Ini turut terpakai walaupun mereka tidak lagi menjadi anggota pentadbiran kerajaan, katanya.

"Ini harus dipatuhi dan menjadi ingatan buat kita semua," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran buku 'Being Abdullah Ahmad Badawi' yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, Isnin.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata walaupun berbeza pendapat, namun soal prinsip dan perundangan negara perlu dipatuhi.

Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat baru-baru ini.-- Bernama  



Parlimen, OSA, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Lain