suria

Dua Individu Menyamar Ejen KKM Ditahan

SEREMBAN: Dua individu dipercayai menyamar sebagai ejen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan meminta bayaran RM500 bagi pendaftaran premis makanan, ditahan dalam satu serbuan Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Abdul Rahim Abdullah berkata individu ini mendakwa kononnya mereka merupakan ejen yang dilantik KKM bagi menjalankan pendaftaran premis makanan dengan KKM.

"KKM mengambil maklum berkenaan aduan 27 Okt lepas dari sebuah restoran di Seremban berhubung tiga individu yang datang ke premis mereka dan mendakwa sebagai ejen dilantik KKM bagi menjalankan pendaftaran premis makanan dengan KKM," katanya.

Tiga individu berkenaan mengugut pekerja premis tersebut dengan mengatakan premis itu akan ditutup sekiranya gagal mengemukakan bayaran RM500 untuk pendaftaran premis makanan.

Kata beliau, ketiga-tiga mereka turut memaklumkan akan datang semula ke restoran berkenaan bersama slip pendaftaran premis makanan dan bayaran RM500 perlulah dibuat pada hari tersebut.

Dr Abdul Rahim berkata jabatan itu melalui Pejabat Kesihatan Daerah Seremban menjalankan siasatan terhadap aduan berkenaan dan pemilik restoran telah membuat laporan di Balai Polis Labu.

"Hasil kerjasama dengan pihak polis Seremban dan pemilik restoran yang membuat aduan, satu tangkapan ke atas dua individu ini dilakukan pada Ahad lepas," katanya.

Katanya menurut Peraturan 3, Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 semua premis makanan adalah wajib berdaftar dengan KKM dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun. 

Dr Abdul Rahim berkata bagaimanapun pendaftaran premis makanan ini adalah percuma dan boleh dilakukan secara dalam talian di http://fosimdomestic.moh.gov.my atau di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau di Jabatan Kesihatan Negeri.

Jabatan ini menyeru pemilik premis makanan dan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya. 

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran atau Jabatan Kesihatan Negeri," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain