suria

SKMM Turut Siasat Dana Asing Libatkan Portal Media - Salleh

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyiasat aduan berhubung penyaluran dana asing kepada portal berita tertentu dengan niat menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata laporan tersebut akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak aduan berhubung ancaman itu dan siasatan terperinci perlu dibuat dengan meneliti pelbagai sumber media baharu sebelum ia diserah kepada Peguam Negara.

"Kita telah terima aduan tentang perkara itu dan sekarang ini kita lihat (penglibatan) media baharu. Kita sedang kenal pasti sumbernya. Kemudian serah kepada AG (Peguam Negara) untuk buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran 'KL International Youth Discourse 2016' di sini, Khamis.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan akan dibuat terhadap dakwaan hartawan George Soros membiayai Bersih, Merdeka Center dan Malaysiakini di Malaysia.

Terdahulu, Salleh berkata kerajaan sedia ada yang dipilih secara demokrasi tidak seharusnya dijatuhkan secara tidak sah kerana hak untuk memilih kerajaan terletak sepenuhnya di tangan rakyat. 

"Kita negara merdeka, ada kaedah sendiri untuk urus negara yang merdeka, kita amal sistem demokrasi berparlimen, rakyat ada kuasa tentukan kuasa memerintah, kita tidak boleh gunakan kaedah lain di luar Perlembagaan untuk capai matlamat tersebut," tegasnya.

Mengulas tentang dasar baharu negara iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50), Salleh berkata langkah pertama yang harus diambil adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada golongan belia pelbagai bangsa dan agama tentang langkah yang harus dilakukan untuk menentukan masa depan negara ini dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Sehubungan itu, beliau berkata penganjuran KL International Youth Discourse 2016 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Nov ini di Sunway Resort and Spa Petaling Jaya adalah langkah terbaik untuk mendapatkan pandangan dan pendapat belia.

Najib pada perbentangan Bajet 2017 mengumumkan TN50, iaitu visi untuk terus memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi serta berstatus negara maju. -- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain