KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat pakaian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Jumaat atas tujuh pertuduhan menipu urusan jual beli pakaian melibatkan kerugian lebih RM450,000 tiga tahun lalu. Lew Chun Siong, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Azman Ahmad. Bagi semua pertuduhan itu, Lew didakwa memperdayakan Chew Chee Kin, 54, dalam urusan tempahan dan penerimaan barangan seperti yang dinyatakan di dalam invois dan pesanan penghantaran. Tindakan itu telah menyebabkan Chew menyerahkan tujuh keping cek bagi setiap invois berbeza yang bernilai keseluruhan RM496,230.10 kepada tertuduh yang beliau tidak akan menyerahkan cek tersebut sekiranya tidak diperdayakan. Lew didakwa melakukan kesalahan itu di Quick Silk Sdn Bhd, No 5-2, Jalan 3/62A, Bandar Menjalara di sini antara 24 Sept 2013 hingga 2 Jan 2014 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim menawarkan jaminan RM50,000 untuk kesemua pertuduhan manakala tertuduh yang diwakili peguam CY Low memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga. Azman membenarkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke balai polis berdekatan pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 1 Disember untuk sebutan semula kes. - BERNAMA