BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan menjelaskan kadar caj bagi wad kelas kedua di hospital kerajaan hanya akan naik 25 peratus sahaja pada tahun depan bukan 50 peratus. Timbalan menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kali terakhir kadar itu dinaikkan adalah 34 tahun lalu. "Tiada isu langsung di sini dan ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada pesakit berpendapatan rendah atau sederhana kerana kadar caj kelas ketiga masih kekal dan kelas kedua hanya naik beberapa ringgit sahaja," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak tanah runtuh di Teluk Bahang di sini baru-baru ini. Kenaikan ini akan dilaksanakan di semua hospital kerajaan seluruh negara bermula 1 Januari depan. Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata lokasi untuk Jabatan Pesakit Luar di Hospital Pulau Pinang (HPP) kekal di bangunan utama sehingga mendapatkan lokasi yang sesuai. "Dahulu ada rancangan untuk memindahkan jabatan itu ke bangunan warisan di Jalan Sepoy Lines, tetapi atas beberapa sebab, kami tidak jadi berpindah kesana," katanya. Ketika ini, jabatan ini menyediakan perkhidmatan harian kepada 800 pesakit daripada seluruh Pulau Pinang, termasuk dari Sungai Bakap kerana kemudahannya yang mencukupi. Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Khamis, Exco Kesihatan Negeri, Dr Afif Bahardin menyentuh isu kesesakan lalu lintas di Jabatan Pesakit Luar HPP. "Kerajaan negeri bersedia untuk menyediakan tapak bagi memindahkan jabatan itu dan saya berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya pada sidang itu. -Bernama