suria

PAU2016: Wanita Mahu Pasarnita Di Setiap Premis Mara

KUALA LUMPUR: Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menggesa kerajaan supaya mewujudkan lebih banyak Pasar Untuk Wanita (Pasarnita) khususnya di kawasan luar bandar bagi memperkasakan ekonomi golongan itu.

Pasarnita merupakan premis perniagaan yang dikendalikan  Majlis Amanah Mara (Mara).

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata, beliau sedar ramai wanita berkebolehan tetapi tiada tempat untuk memasarkan produk yang diusahakan.

"Sebagai contoh di Arau, ada wanita pandai buat keropok, nak jual macam mana, online bolehlah tapi perlu juga bawa ke bandar. Nak kena himpit-himpit dengan kaum bapa susah, betul tak?

"Oleh itu, saya nak minta dekat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Bayangkan kalau setiap premis Mara itu ada Pasarnita, alangkah bahagia kita. Bagilah kat wanita, berani janji tak Datuk Seri?" katanya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan pergerakan itu di Dewan Tun Hussein Onn.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Rabu.

Shahrizat berkata, wanita pada hari ini bukan lagi peminta sedekah dan mereka perlu mempunyai dompetnya sendiri.

"Kalau wanita tak ada dompetnya sendiri, nak datang PWTC pun tak boleh. Tiap-tiap wanita di Malaysia mesti ada dompetnya sendiri. Dulu kita ke hulu ke hilir dengan air liur sahaja.

"Wanita bukan peminta sedekah, wanita ada maruah. Kita mahu semangat Siti Khadijah. Kita mahu kerajaan lahirkan bukan hanya 30 peratus tapi setiap wanita berkebolehan diberi peluang untuk jadi usahawan," katanya. 

Mara, Wanita Umno, Shahrizat