suria

KJ Ajak 'Serang' Pembangkang, Tun M Bermati-Matian

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mahu jentera sayap parti itu lebih agresif ‘menyerang’  gerakan pembangkang yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tegas Khairy, sentimen rasa hormat untuk mengenang jasa  bekas Presiden Umno itu harus dihapuskan kerana Dr Mahathir kini menjadi pengkhianat kepada perjuangan Umno.

"Jasa Tun akan sentiasa kami kenang, tetapi pengkhianatan Tun, pembelotan Tun, akan bermati-matian kami tentang.

"Tidak boleh ada walau sekelumit rasa simpati terhadap mereka yang satu ketika pernah bersama namun kini menyanggah perjuangan kita. Kita sedang berperang. Yang menentang, kita lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Rabu.

Selain Dr Mahathir, bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut dilabel sebagai musuh politik yang harus ditentang.

“Mereka yang pernah menjadi pemimpin kita, rakan kita satu ketika dahulu sudah jelas menentang kita. Dalam dunia politik, kita sudah berkerat rotan, berpatah arang dengan Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz.

"Yang tidak ingin bersama Umno, sila keluar sekarang. Keluar dari barisan. Jangan jadi musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam. Jangan jadi dayus, jangan jadi bacul. Jangan sembunyi. Kalau tak suka, lawan depan-depan,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Rembau itu, jentera Pemuda Umno juga perlu berwaspada dengan gerakan politik tiga individu berkenaan menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Jelas Khairy, beliau difahamkan kini wujud cubaan untuk melemahkan Umno dari dalam parti.

“Kita sudah dengar cerita bahawa ada arahan dari pimpinan PPBM untuk ahli Umno yang sudah berpaling tadah dan mahu berhijrah kepada mereka untuk sorokkan dahulu pertukaran, sembunyikan dahulu pembelotan dan senyapkan dahulu pengkhianatan.

“Mereka hanya akan muncul untuk mengejutkan Umno dengan serangan hendap ketika semboyan kempen sudah berbunyi. Ketika itu sudah terlewat untuk kita bertindak dan jentera pilihan raya dilumpuhkan oleh sabotaj dalaman,” katanya.

Mahathir, Umno, Khairy

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain