suria

Bisnes 'Alibaba’ Terus Rosakkan Melayu

KUALA LUMPUR: Sikap usahawan Melayu dan bumiputera yang hanya mahu mengaut keuntungan ‘atas angin’ dengan mengalibabakan kontrak kerajaan terus membelenggu ekonomi kaum itu.

Perwakilan Negeri Sembilan, Abdul Rahman Mohd Redza berkata, nasib orang Melayu tidak akan berubah jika amalan ketirisan kontrak tidak dihentikan segera.

“Antara sebab orang Melayu terus ketinggalan ialah kecenderungan syarikat bumiputra mengambil jalan mudah dengan melakukan total sub dan mengalibabakan kontrak.

“Ia membuatkan sebahagian besar keuntungan dinikmati golongan bukan bumiputera. Kesannya syarikat sendiri tak dibesarkan sebaliknya pihak yang satu lagi menggunakan keuntungan tersebut untuk kembang dan besarkan syarikat mereka,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi berkata demikian ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di sini, Jumaat.

Selain itu katanya, kelemahan kebolehsaingan usahawan bumiputera dalam pasaran ekonomi tempatan juga menjadi punca masalah yang membelenggu masyarakat Melayu.

“Syarikat bumiputera terlalu bergantung kontrak kerajaan dan tidak mahu bersaing untuk mendapatkan kontrak swasta mahupun luar negara.

“Buktinya hanya dua peratus syarikat bumiputera di negara ini adalah syarikat besar, selebihnya hanya secara kecil-kecilan,” katanya.

Tambah beliau, sejak Rancangan Malaysia ke-6 (RMK6) hingga RMK10, 80 peratus kontrak kerajaan berjumlah RM940 bilion diberikan kepada syarikat bumiputera.

"Malah pelbagai pinjaman perniagaan melalui SME Bank, Bank Pembangunan dan Agro Bank, termasuk kemudahan mikro kredit seperti Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan Amanah Ikhtiar telah memberi pinjaman hampir RM76 bilion kepada usahawan Melayu dan bumiputra.

“Namun wajib kita tanya mengapa setelah 40 tahun dasar-dasar ini kita laksanakan dan berikan, mengapa hari ini ekonomi bumiputera masih ketinggalan?” katanya.

Umno, Alibaba, Linggi

Artikel Lain