MIRI: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membuat laporan polis terhadap bapa tirinya yang didakwa cuba melakukan serangan seksual. Remaja tersebut yang sudah tidak bersekolah, mendakwa, bapa tirinya itu cuba melakukan perbuatan itu pada Sabtu malam ketika dia sedang berada di dalam tandas di rumahnya. Dalam laporan polis itu, remaja terbabit berkata, suspek pernah melakukan perkara yang sama sebelum ini. Dalam kejadian terbaharu, remaja tersebut berkata, bapa tirinya menyentuh bahagian kemaluannya tetapi dia berjaya melarikan diri sebelum dirinya diperkosa. Gadis berkenaan membuat laporan polis dengan bantuan pusat kebajikan masyarakat. Susulan itu, polis Miri menahan suspek yang berusia lewat 30-an di rumahnya dan mendapatkan perintah tahanan reman untuk siasatan lanjut. Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat mengesahkan perkara itu.