suria

Perbicaraan Kes Bom Movida Ditetapkan Januari

KUALA LUMPUR: Perbicaraan ke atas dua lelaki yang didakwa meletupkan bom di Puchong pada Jun lalu, ditetapkan pendengarannya pada bulan depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Nordin Hassan pada Isnin menetapkan perbicaraan pada 11 dan 12 Januari bagi mendengar testimoni daripada 12 saksi.

Imam Wahyudin Karjono, 21 dan Jonius Ondie @ Jahali, 24 berdepan dengan dakwaan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh, dah satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) kerana menggunakan bom tangan.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di restoran dan bar Movida di IOI Boulevard di Puchong pada kira-kira pukul 2 pagi 28 Jun lalu.

Kedua-duanya turut berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 130(c)(1)(b) Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan keganasan.

Jonius yang merupakan operator kilang dari Sabah diwakili Aaron Mark Pius, manakala Imam diwakili Farida Mohammad.

Lapan orang cedera dalam insiden itu.

Polis kemudiannya mengesahkan ia merupakan serangan pertama oleh kumpulan militan IS di Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Lain