BAGAN SERAI: Tiga suspek bertopeng dan bersenjatakan pelbagai jenis senjata melarikan lima dulang barang kemas dari sebuah premis menjual barang kemas di Jalan Sepakat, Pusat Bandar di sini pagi Selasa. Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata dalam kejadian 11.27 pagi itu, semua suspek yang bersenjatakan satu senapang angin, sepucuk pistol, sebilah kapak dan satu tukul besi memecah pintu masuk automatik premis terbabit. Katanya sebelum melarikan diri, seorang daripada suspek melepaskan tembakan menggunakan senapang angin dan beredar menuju ke jalan utama menggunakan sebuah kereta yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu. "Hasil siasatan mendapati kejadian rompakan itu mempunyai modus operandi sama dengan kejadian rompakan sebuah kedai emas di pekan Parit Buntar pada 2013," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian. Omar Bakhtiar berkata jumlah kerugian masih dalam siasatan dan polis melancarkan Op Tutup di setiap laluan persempadanan utama di daerah itu bagi menjejak dan memberkas suspek terbabit. Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Sementara itu, pemilik kedai emas Fong Kok Heng, 51, berkata kejadian berlaku ketika beliau dan isteri serta seorang pekerja sedang membuka kedai untuk memulakan operasi. "Dua lelaki memakai topeng muka keluar dari sebuah Proton Wira berwarna putih di depan kedai dengan memegang senjata api, manakala seorang lagi menunggu di dalam kenderaan itu. "Saya segera menekan butang penggera keselamatan dan mengunci pintu masuk automatik premis sebelum melarikan diri ke bahagian ruangan pejabat premis dan mengunci diri dari dalam," katanya. Menurutnya ketika sedang bersembunyi di dalam pejabat, beliau terdengar bunyi tembakan sebelum melihat pintu automatik dan meja pameran barang kemas dipecahkan kedua-dua suspek dengan menggunakan tukul besi. "Kedua-dua suspek bertopeng terbabit melarikan sekurang-kurangnya lima dulang penuh berisi barang kemas dalam tempoh 10 minit dan melepaskan tembakan ketika hendak melarikan diri, namun tiada sesiapa yang cedera," katanya. Fong berkata insiden rompakan itu adalah yang pertama kali berlaku ke atas premisnya sejak beroperasi 18 tahun lalu. -- Bernama