suria

Perkhemahan Hammock Mesra Alam Sekitar

KUALA KUBU BHARU: Kaedah perkhemahan buaian yang mula diperkenalkan di negara ini sejak setahun lalu mampu memberi kesan positif kepada persekitaran alam sekitar.

Pengasas Hammockers Malaysia, Muhammad Laili Basir,44, berkata, penggunaan buaian atau hammock dapat mengurangkan penebangan pokok untuk dijadikan tempat teduh. 

"Malahan, aktiviti santai ini juga boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai,” katanya yang juga  penyelaras aktiviti itu.

Baru-baru ini, program ‘Selangor Hammock Camp 2016’ dianjurkan selama tiga hari bermula 16 Disember lalu di Sungai Chilling dekat sini.

Program pertama kali di Selangor ini hasil kerjasama Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (Upen), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Jabatan Perikanan Negeri Selangor.

Salah seorang peserta, Nor Adaviah Mohd Sabri, 23, dia tertarik dengan aktiviti seperti ini kerana ia mendekatkan diri dengan alam sekitar.

“Sejak 2014, saya mengikuti pelbagai program perkhemahan dan pendakian gunung. Namun, program ini mendekatkan diri saya dengan alam sekitar.

“Dengan hammock ini kita dapat lihat alam sekitar secara meluas, tidak kira siang mahupun malam. Saya rasa selesa apabila dapat berehat di dalam buaian ini, dan akan terus menggunakan hammock ini pada masa akan datang," katanya.

Rakannya, Hafreez Amminuddin, 23, pula berkata, antara aktiviti kegemaran di sepanjang program ini adalah beristirehat di dalam buaian atau hammock.

“Dalam banyak-banyak program, hammock merupakan aktiviti kegemaran saya. Kebiasaannya kita akan tidur dalam khemah, tetapi untuk perkhemahan kali ini, saya berpeluang untuk tidur dalam buaian.

“Biasanya, saya nampak hammock ini di tepi pantai dan tidak tahu bahawa konsep yang sama akan digunakan dalam perkhemahan.

“Melalui program ini, saya dapat belajar sedikit sebanyak tentang hammock. Dari segi ikatan digunakan untuk memasangnya serta kepelbagaian cara untuk menaiki buaian,” jelasnya.
 

hammock, Sungai Chiling

Artikel Lain