KUALA LUMPUR: Satu sistem pendaftaran khas perlu diwujudkan bagi membantu pelarian Rohingya di negara ini, kata Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar. Beliau berkata ini antara lain bagi membolehkan pelarian Rohingya yang berrdaftar mendapatkan pekerjaan serta akses kepada pendidikan dan kesihatan. "Terdapat 50,000 pelarian etnik Rohingya didaftarkan dengan UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian) di negara ini, tetapi ada ramai juga yang tidak berdaftar. Di dalam kad UNHCR ini mereka berstatus pelarian. "Apa yang kita mahu, mereka ini didaftarkan di bawah satu sistem supaya mereka ada hak menjalankan kehidupan di bawah undang-undang antarabangsa sehingga selesai masalah di negara mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program 'Garage Giveaway' untuk etnik Rohingya di sini, Isnin. Katanya, sistem berkenaan juga perlu bagi mengelak etnik tersebut dianiaya pihak tertentu termasuk menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Dalam pada itu, Syed Hamid menegaskan bahawa pemimpin negara Asean perlu mengubah pendirian tidak mahu masuk campur hal dalaman negara lain bagi membantu menyelesaikan isu etnik Rohingya di Myanmar. "Kita mahu hormati 'dignity' sesuatu bangsa yang dicabuli. Kita mahu bantu agar isu Rohingya ini selesai," katanya. Justeru, katanya, negara Asean lain perlu lebih terbuka kerana isu etnik Rohingya hanya boleh diselesaikan dengan penglibatan bersama negara Asean itu sendiri. -Bernama