BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Kedah merampas 109 guni berisi tenggiling spesies Manis Javanicus bernilai RM196,200 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kubang Airang, Changlun, Jumaat. Komander Aksem Kedah, Abdul Latif Abd Rahman berkata, kesemua tenggiling seberat 654 kilogram itu ditemui ketika pemeriksaan dilakukan di tepi rumah terbabit kira-kira 12 tengah hari. "Kami menjumpai khemah yang ditutup dengan jaring berwarna hitam yang di dalamnya terdapat guni-guni berwarna biru dan hitam yang berisi tenggiling," katanya dalam sidang media di Kompleks Aksem di sini, Jumaat. Abdul Latif berkata soal siasat terhadap lelaki tempatan berusia 49 tahun yang berada di rumah terbabit mendapati kawasan itu dijadikan transit untuk menyimpan tenggiling terbabit dari Pulau Pinang, sebelum diseludup masuk ke Thailand. "Memandangkan harga daging tenggiling yang tinggi di pasaran mencecah RM300 sekilogram, lelaki tersebut mengaku haiwan itu diambil oleh warga Thailand untuk diseludup ke negara jiran," katanya. Katanya, kesalahan itu tertakluk di bawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh membawa hukuman denda RM100,000 dan penjara lima tahun jika sabit kesalahan. Kesemua hasil rampasan tersebut katanya akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. - Bernama