suria

Kesan Tumpahan Minyak Di Johor Merebak Ke Pantai Singapura

SINGAPURA: Kesan tumpahan minyak di Johor berikutan kemalangan membabitkan dua kapal pada malam Selasa telah merebak ke pantai di Singapura.

Kawasan di sepanjang pantai timur laut Singapura, termasuk Changi Beach Park, telah terjejas dengan kesan minyak hitam ditemui di bahagian pantai dan kawasan cetek.

Pada pagi Khamis, kontraktor Agensi Alam Sekitar Kebangsaan dilihat telah melakukan kerja-kerja pembersihan dengan para pekerja memasukkan pasir dengan kesan minyak ke dalam beg sampah.

Pekerja juga dilihat meletakkan papan tanda menasihati orang ramai untuk menjauhkan diri dari perairan yang tercemar dan pantai itu telah ditutup.

The Straits Times difahamkan, kawasan Pasir Ris Park, serta beberapa kawasan di Punggol, juga terjejas.

Bagaimanapun, pemeriksaan di pantai berhampiran Downtown East, sebuah tempat popular bersebelahan dengan pusat beli-belah E Hub menunjukkan air yang jernih.

Kejadian yang berlaku pada 11.05 malam itu berpunca daripada kerosakan generator kapal Kontena MT Wan Hai 301 yang berdaftar di Singapura menyebabkan ia hilang kawalan dan melanggar kapal kontena MT APL Denver yang berada berdekatan.

Pelanggaran itu menyebabkan tumpahan minyak dari kapat MT APL Denver yang dianggarkan sebanyak 300 tan minyak Marine Fuel Oil (MFO). -The Straits times/Asia News Network

Artikel Berikut

Artikel Lain