suria

Wanita Jual Tisu Pura-Pura Buta Pemegang Kad OKU

Gambar hiasan.

JOHOR BARU: Wanita menjual tisu yang kisahnya menjadi tular di laman sosial yang kononnya berpura-pura buta, adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang sah.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Baru, Manayi Ibrahim berkata mata kanan wanita berusia 43 tahun itu buta sepenuhnya manakala mata kirinya hanya boleh mengesan warna terang.

Manayi berkata, wanita berkenaan hadir bersama-sama dua daripada lima anaknya ke pejabat JKM pada pukul 10 pagi Selasa.

"Dalam pertemuan itu, wanita tersebut dan anak-anaknya memberitahu JKM bahawa mereka kecewa dengan penyebaran gambar berkenaan di laman sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Kisah wanita itu menjadi tular di laman sosial berikutan dia didakwa berpura-pura buta dan menjual tisu.

Manayi berkata JKM turut menasihatkan wanita itu mencari pekerjaan sesuai agar tidak mengundang perspektif serong masyarakat, selain meminta memperbaharui kad OKU berikutan kad yang ada pada simpanannya adalah kad lama.

Mengulas mengenai video yang menunjukkan dia mendeposit wang berjumlah RM14,000 di kaunter bank, Manayi berkata wanita itu memberitahu duit berkenaan adalah milik rakan-rakan peniaga tisu lain yang diserahkan kepadanya untuk disimpan di bank. - BERNAMA

wanita OKU, jual tisu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain