KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada Selasa menahan dua polis berpangkat sub-inspektor dan sarjan di Sandakan atas dakwaan menerima rasuah daripada seorang buruh berumur 34 tahun.
Pengarah SPRM negeri Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap berkata suspek masing-masing berumur 50 tahun itu ditahan dalam satu operasi perangkap di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.
"Suspek ditangkap kira-kira pukul 5 petang Selasa kerana menerima RM5,000 daripada pengadu (buruh) berkaitan aduan yang dibuatnya kepada SPRM Sandakan.
"Menurut pengadu, pada 9 Januari (Isnin) kira-kira pukul 11 pagi di kawasan bandar Sandakan, dia telah berjumpa suspek.
"Suspek kedua (sarjan) telah meminta darinya wang sebanyak RM5,000 sebagai balasan menyelesaikan satu kes pergaduhan melibatkan pengadu pada 8 Disember lalu," katanya dalam kenyataan di sini malam Selasa.
Shaharom Nizam berkata kedua-dua suspek dihantar ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan dan percakapan mereka berhubung kes itu akan dirakam pagi Rabu.
Tiada reman dicadangkan setakat ini, katanya. - Bernama